Skip to main content

Bolehkah berjaya format dua CEO urus empayar Vincent Tan?

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, pengasas dan pengerusi BJCorp

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

PADA 1998, buat pertama kali dalam sejarah kelab bola sepak Liverpool, lembaga pengarah memutuskan untuk membenarkan dua pengurus mengendalikan hal ehwal pasukan.

 

Roy Evans ketika itu merupakan pengurus kelab, tiba-tiba mendapati kehadiran Gerard Houllier.

 

`Eksperimen’ dua pengurus ini bermula pada Ogos 1998, sebelum Evans beralah dan mengundurkan diri menjadikan Houllier pengurus tunggal selepas 18 perlawanan secara berdua.

 

Perkongsian seperti ini telah terbukti tidak berjaya di kelab lain dan ia juga tidak berkesan di Liverpool. Jika pelantikan Kenny Dalglish sebagai pengurus-pemain pertama kelab itu pada pertengahan tahun 1980-an adalah satu kejutan, ini lebih-lebih lagi.

 

Ramai yang menganggap pelantikan Houllier sebagai penurunan pangkat untuk Evans, seolah-olah ia menunjukkan bahawa dia tidak berupaya mengendalikan pasukan seorang diri.

 

Jika nasib kelab bertambah baik, Houllier boleh mendakwa ia adalah kerana kehadirannya; jika gagal, dia akan dapat mendakwa bahawa terlalu banyak kesalahan yang telah dilakukan sebelum ketibaannya.

 

lfc
Ray Evans (kiri) dan Gerard Houllier pada 1998.

 

Tugas seorang pengurus adalah banyak. Adakah dengan ada dua pengurus, kelab pernah benar-benar menjelaskan siapa yang akan melakukan apa?

 

Dalam soal pemilihan pasukan, bagaimana jika kedua-dua pengurus tidak bersetuju? Siapa yang akan mempunyai undi pemutus atau kata putus?

 

Analogi bola sepak

Inilah persoalan yang terus berlegar di kepala ketika mula-mula membaca pengumuman Berjaya Corporation Berhad (BJCorp) yang melantik CEO bersama, berkuatkuasa 1 April 2022.

 

bjcorp
Vivienne Cheng Chi Fan dan Syed Ali Shahul Hameed kini CEO bersama BJCorp

 

Dua CEO tersebut ialah Vivienne Cheng Chi Fan dan Syed Ali Shahul Hameed sebagai menggantikan Abdul Jalil Abdul Rasheed yang meletak jawatan pada 31 Mac 2022.

 

Analogi bola sepak ini tidaklah di luar daripada perimeter kerana sebagai CEO Kumpulan BJCorp, satu daripada tanggungjawab mereka ialah memantau pasukan bola sepak Cardiff City yang dimiliki oleh pengasas BJCorp iaitu Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

 

Untuk rekod, keputusan Vincent melantik dua CEO bagi menguruskan empayarnya, bukanlah sesuatu yang tidak pernah dilakukan baik di dunia mahupun Malaysia.

 

Pada Oktober 2020, pengendali kedai runcit dan serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad telah melantik ketua pegawai kewangannya ketika itu iaitu Wong Wai Keong dan pengarah eksekutif Tan U-Ming sebagai CEO bersama syarikat, berkuat kuasa 1 Disember 2020.

 

Bolehkah modul 2 CEO berjaya?

Nampaknya setakat ini, berdasarkan analisis rambang ke atas syarikat di seluruh dunia (dan juga kelab bola sepak), memiliki dua kapitan tidak berkekalan.

 

Contoh:

  • Pada tahun 2020, firma perisian SAP memansuhkan struktur CEO bersamanya selepas hanya enam bulan, dengan menyatakan bahawa “model seorang CEO” akan “menyediakan struktur kepimpinan yang lebih jelas” bagi menangani cabaran perniagaan yang berkaitan pandemik.

 

  • CEO bersama bagi pembuat tayar Pirelli, Angelos Papadimitriou juga meletakkan jawatan pada Januari 2021 selepas hanya enam bulan, dengan alasan yang disebut sebagai keputusan yang dipersetujui bersama.

 

Angelos Papadimitriou
Angelos Papadimitriou

 

Mengikut sesetengah pendapat, konsep kepimpinan CEO bersama semakin mendapat pengiktirafan sejak kebelakangan ini selepas tercetusnya pandemik COVID-19.

 

Beban tugas untuk memastikan perjalanan organisasi perniagaan yang berlatarkan krisis kesihatan global telah menjejaskan kesihatan mental eksekutif yang memegang jawatan tertinggi syarikat (C-suite) dengan keperluan mendesak untuk mengurus tenaga kerja syarikat secara jarak jauh.

 

Walaupun sekarang ketika syarikat meletakkan fokus yang serius terhadap pemulihan dan pertumbuhan dalam iklim ekonomi yang semakin sukar, lebih ramai mula mempersoalkan status quo.

 

Ini menyebabkan banyak perniagaan mula mencuba mengguna pakai konsep `CEO bersama' berdasarkan teori bahawa mereka mahu memacu pemulihan perniagaan tanpa risiko meletakkan semuanya di atas bahu seorang individu.

 

cardiff

 

Tidak dapat dinafikan bahawa kadar kejayaan pengaturan CEO bersama ini membuahkan hasil yang berbeza, berlainan dari satu industri kepada industri yang lain.

 

Ini sebahagian besarnya dikaitkan dengan hakikat bahawa “walaupun berdua lebih baik, namun tiada dua minda yang berfikiran serupa”.

 

Para pengkritik terhadap kepimpinan bersama percaya bahawa kunci kepada sesebuah organisasi yang berjaya adalah dengan mempunyai seorang pembuat keputusan yang mampu membuat keputusan yang tepat serta mempunyai pengaruh yang berkesan, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif.

 

Mungkin sementara, kata MSWG

Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG) berkata, melihat dari sudut pandang pemegang saham minoriti, adalah diharapkan bahawa lembaga pengarah BJCorp telah mempertimbangkan dengan sewajarnya kesesuaian pelaksanaan model CEO bersama dalam kumpulan kerana ini pasti akan meningkatkan kadar kejayaan pelaksanaannya.

 

‘’Walaupun bukan kelaziman, model kepimpinan ini diharapkan dapat meningkatkan lagi nilai pemegang saham memandangkan harga saham BCorp berada dalam trend menurun daripada paras tertinggi intra hari 50.5 sen yang direkodkan pada 1 April 2021 (lebih daripada paras tertinggi dalam tempoh enam tahun) kepada julat harga semasa 23 sen (penyusutan 54%).

 

Devanesan Evanson
                        Devanesan Evanson

 

''Walau apa pun kesudahannya, kedua-dua CEO bersama perlu bekerjasama dalam sebuah perkongsian, namun perlu ada sempadan terhadap peranan yang dimainkan oleh mereka dalam proses operasi dan membuat keputusan dalam perniagaan.

 

‘’Sekali lagi ditegaskan, situasi dua CEO ini mungkin merupakan langkah yang bersifat sementara bagi kumpulan BJCorp sementara menunggu kemunculan seorang CEO tunggal,’’ kata Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif  MSWG.

 

Berdua lebih baik?

Itu tajuk lagu. Kisah percintaan. Memang umum berpandangan berdua lebih baik.

 

Tetapi dalam konteks menerajui bahtera sebesar Berjaya Corporation, model kepimpinan bersama seumpama ini menuntut profesionalisme dan persefahaman yang tiada tolok bandingnya daripada kedua-dua ketua supaya tampuk kepimpinan kekal utuh.

 

bjcorp

 

Setelah melantik individu luar daripada kalangan ahli keluarganya tetapi tidak lama, Vincent mencuba pula formula ini.

 

Seandainya formula ini berjaya dilaksanakan di Berjaya Corporation, ia bukan sahaja menguntungkan syarikat tetapi juga menjadi rujukan dunia korporat di seluruh dunia.

 

Memiliki dua CEO adalah sulit tetapi tidak mustahil.     – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Berdua Lebih Baik oleh Acha Septriasa berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.