KUALA LUMPUR 7 Mac - Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam strategi HSBC dan penting bagi pertumbuhan
kumpulan di seluruh rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne berkata, kumpulan perbankan itu telah manjadi sebahagian daripada ekonomi Malaysia sejak 130 tahun lalu, dengan komitmen untuk terus membantu negara berkembang bagi abad akan datang dan seterusnya.
Sehubungan itu, katanya, perpindahan ibu pejabat ke Menara IQ di Tun Razak Exchange (TRX) adalah bukti kukuh komitmen HSBC kepada Malaysia.
"Pembukaan ibu pejabat Malaysia baharu kami ini mengukuhkan komitmen kami untuk menggunakan kepakaran, keupayaan, keluasan dan perspektif unik kami untuk membuka peluang baharu kepada pelanggan kami di sini.
"Dengan memanfaatkan keterhubungan antarabangsa HSBC, kami akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran
merentasi perbankan runcit dan korporat, dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital, untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sempena pembukaan secara rasmi ibu pejabat HSBC Malaysia yang baharu di Menara IQ yang dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perpindahan ke bangunan setinggi 33 tingkat itu membabitkan pelaburan sebanyak AS$250 juta, sekali gus menunjukkan fokus HSBC untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul, menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.
Sejumlah 5,000 pekerja akan ditempatkan di pejabat baharu bank itu termasuk cawangan utama bank di Leboh Ampang.
Menara IQ telah direka bentuk sebagai sebuah bangunan komersial dengan pelbagai penyewa, bercirikan digital dan alam sekitar yang merangkumi elemen keseluruhan aspirasi TRX dan pembangunan komuniti di kawasan itu.
HSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat manakala ingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi
kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional.
Sementara itu, pada majlis berkenaan juga, HSBC Malaysia menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Pusat Alam Sekitar Global dan Yayasan Inovasi Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha kemampanan bank menyokong usaha sama untuk membantu komuniti di negara ini berkembang maju. - DagangNews.com








