Skip to main content
DagangNews.com
Kolum CIKGU SAHAM - 11 May 2021

BELAJAR MENJANA KEUNTUNGAN DI BURSA SAHAM WALAUPUN SEDIKIT

 

 

PERIBAHASA Melayu ada menyebut "sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Begitu juga di dalam membuat pelaburan saham di pasaran saham Bursa Malaysia.

 

Apabila seseorang itu baru pertama kali menceburkan diri dalam perdagangan atau pelaburan saham, kita mesti tanamkan di dalam minda untuk tidak bersikap tamak, lebih-lebih lagi sekiranya tidak begitu mahir di dalam selok-belok pasaran saham dan tidak mahir membaca carta pergerakan harga saham-saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Konsep perdagangan saham ialah menjana keuntungan dalam masa singkat. Tidak kira berapa pun keuntungan yang diperoleh dari aktiviti beli dan jual saham. Ini berbeza dengan konsep melabur saham iaitu beli dan simpan sesuatu saham syarikat tersenarai yang mana tempoh pegangan saham boleh mencapai sehingga beberapa tahun.

 

Di dalam perdagangan saham, seorang pedagang mampu menjana pendapatan dalam beberapa minit sahaja. Aktiviti beli dan jual ini boleh dilakukan berulang-ulang kali sama ada membeli kaunter yang sama ataupun kaunter yang berlainan.

 

kreatif

 

Keuntungan yang diperoleh itu ialah dari perbezaan harga belian dan harga jualan. Untung dijana dari perbezaan harga belian yang rendah dengan harga jualan yang tinggi selepas ditolak dengan semua kos yang dikenakan di dalam transaksi tersebut.

 

Ini bermakna sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti beli dan jual saham pada bila-bila masa semasa pasaran saham sedang diurus niagakan. Tidak perlu menjadi pedagang saham sepenuh masa untuk menjana pendapatan di pasaran saham kerana kita tidak perlu melihat harga naik turun sepanjang masa. Juga, tidak perlu berhenti kerja untuk menjadi pedagang saham sepenuh masa jika mempunyai komitmen yang tinggi untuk sara diri dan keluarga. 

 

Ingin diingatkan sekiranya seseorang itu telah diberhentikan dari kerja, maka dia perlu mengambil kira segala hutang-piutang dan komitmen bulanan. Untuk menggunakan wang yang ada sebagai pelaburan saham sekiranya seseorang itu tiada pekerjaan tetap, ia perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan juga kepakaran dalam membaca carta pergerakan saham.

 

Sekiranya seseorang itu memasuki pasaran tanpa ilmu dan bimbingan, ditakuti wang simpanan akan berkurangan dan bukannya berkembang kerana pelaburan di pasaran saham mempunyai risiko yang tinggi.

 

Aktiviti perdagangan saham boleh dibuat secara sambilan atau santai memandangkan pasaran saham ada masa-masa yang sesuai untuk dimasuki. Tidak perlu memasuki pasaran setiap hari kerana pasaran tidak naik hari-hari. Pasaran saham bergerak naik dan turun secara berselang-seli dan ada masa-masa ianya mendatar atau bergerak di dalam dengan jajaran sempit.

 

kreatif

 

Peringatan ini diberikan kerana ramai orang membuat anggapan bahawa alangkah baiknya sekiranya menjadi pedagang saham sepenuh masa dengan berhenti kerja kerana ingin menumpukan sepenuh masa berdagang saham setiap hari.

 

Ia boleh dilakukan dengan syarat jika kita mempunyai komitmen bulanan yang rendah serta mempunyai simpanan yang mencukupi dan lebihan wang untuk dijadikan modal pelaburan yang tidak akan menganggu perbelanjaan atau kehidupan seharian. Maka, aktiviti perdagangan saham ini dilakukan untuk mengisi masa atau sebagai aktiviti semasa menunggu mendapat pekerjaan yang baru.

 

Sekiranya seseorang itu merupakan suri rumah atau pesara, mereka juga harus bijak membuat jual beli saham. Ini ialah kerana ditakuti wang pencen habis begitu sahaja jika membuat pelaburan atau perdagangan saham tanpa ilmu dan semberono.

 

Suri rumah juga perlu bijak membahagikan masa dengan urusan rumah tangga seiring dengan aktiviti perdagangan saham. Sepertimana yang Cikgu Saham katakan tadi, tidak perlu menghabiskan masa seharian mengadap skrin komputer atau telefon pintar melihat pergerakan turun naik harga saham.

 

Sebagai orang baharu yang melibatkan diri dalam pasaran saham, perlu membuat tindakan yang pantas dan tidak bertangguh untuk menjual saham jika harga saham naik sejerus membeli. Ini bertujuan untuk mengelakkan perasaan cemas atau panik sekiranya harga saham yang naik tiba-tiba menyusut.

 

Ramai pedagang saham yang membuat kesilapan dengan tidak menjual saham yang harganya naik sejurus dibeli tetapi menjual saham (cut loss) tersebut apabila harga saham tiba-tiba menyusut. Mereka merasa panik dan cemas kerana takut harga akan jatuh lagi jika tidak mengambil tindakan untuk cut loss.

 

cikgusaham

 

Maka, pendekatan terbaik ialah mengambil keuntungan tidak kira berapapun jumlahnya untuk melatih diri menanam rasa syukur. Tindakan ini tertakluk hanya kepada pedagang yang cetek ilmu atau tidak mahir membaca pergerakan carta saham atau tidak mahir selok-belok pasaran saham.

 

Sebagai contoh, Encik Nasir membeli 20,000 unit saham pada harga RM0.20 dan harga naik menjadi RM0.22 sen. Dengan kenaikan sebanyak 2 sen bermakna Encik Nasir telah memperoleh untung sebanyak RM20 bagi setiap 1,000 unit saham. Ini bermakna, Encik Nasir telah menjana keuntungan kasar sebanyak RM400.00 bagi 20,000 unit saham.

 

Proses ini boleh dilakukan berulang-kali untuk suatu kaunter yang sama atau kaunter-kaunter yang berlainan pada hari yang sama atau pada hari yang berlainan. Ia boleh dilakukan setiap hari ataupun setiap minggu.

 

Jika Encik Nasir mengekalkan purata keuntungan RM400 sehari dan mengulangi proses ini setiap hari, maka jika diambil purata keuntungan untuk 10 hari urus niaga, Encik Nasir memperoleh untung kasar sebanyak RM4,000.

 

Walaupun mungkin sesetengah orang melihat jumlah RM200 dalam sehari sebagai `sedikit', tetapi jika dihitung untuk sepuluh hari dagangan, ia merupakan satu jumlah yang besar. - DagangNews.com

 

 

Cikgu Saham Zuraida Zakaria merupakan penulis buku "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Anda yang berminat boleh mendapatkan buku ini dengan menghubungi talian 017-3084787.

 

 

KOLEKSI CIKGU SAHAM:

 

Portfolio Tags