Batik Air buka tempahan ke tiga destinasi baharu pada harga serendah RM249 sehala | DagangNews Skip to main content

Batik Air buka tempahan ke tiga destinasi baharu pada harga serendah RM249 sehala

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Batik Air yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air hari ini mengumumkan bahawa semua tempahan kini dibuka untuk perkhidmatan harian dari Kuala Lumpur ke tiga lagi destinasi baharu iaitu Phuket, Surabaya dan Ho Chi Minh bermula pada harga serendah RM249 sehala.

 

Perkhidmatan penerbangan tujuh kali seminggu itu membuktikan mereka komited meneruskan pengembangan rangkaian antarabangsanya selepas dijenamakan semula sebagai Batik Air.

 

Batik Air akan melancarkan laluan ke Phuket secara rasmi bermula 1 Ogos, Surabaya pada 10 Ogos dan Ho Chin Minh bermula 15 September 2022.

 

Harga yang ditawarkan untuk penerbangan sehala ke Phuket bermula RM299 untuk Kelas Ekonomi dan RM1,509 untuk Kelas Perniagaan, Kuala Lumpur ke Surabaya bermula RM389 untuk Kelas Ekonomi dan RM1,999 untuk Kelas Perniagaan.

 

Bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh hanya RM249 sehala untuk Kelas Ekonomi dan tiada penerbangan Kelas Perniagaan ditawarkan.

 

Harga berkenaan merangkumi bagasi seberat 20kg untuk Kelas Ekonomi manakala 40kg untuk Kelas Perniagaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperkenalkan Phuket, Surabaya dan Ho Chi Minh, yang popular dengan pengembara perniagaan dan percutian.

 

Katanya, kekerapan penerbangan harian membuktikan hubungan ekonomi, perniagaan dan pelancongan yang semakin berkembang antara Malaysia dan Thailand; Indonesia dan Vietnam.

 

"Penerbangan itu juga akan meningkatkan kesalinghubungan Phuket, Surabaya dan Ho Chi Minh ke seluruh dunia melalui Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab serantau.

 

"Dinamik yang disuntik oleh Tourism Malaysia dalam melonjakkkan senario pelancongan kami dengan pelbagai perkembangan untuk Cuti-Cuti Malaysia berlaku pada saaat yang baik untuk menggalakkan orang ramai berkunjung ke Malaysia," katanya.

 

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti dan promosi Batik Air, orang ramai boleh melawati laman Twitter (twitter.com/@malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) atau Instagram (instagram.com/malindoair). - DagangNews.com