Bank Islam ambil alih status penyenaraian BIMB di Bursa Malaysia mulai pagi ini | DagangNews Skip to main content

Bank Islam ambil alih status penyenaraian BIMB di Bursa Malaysia mulai pagi ini

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt  -  Bank Islam Malaysia Bhd. mula mengambil alih status penyenaraian BIMB Holdings Bhd. daripada Pasaran Utama Bursa Securities berkuat kuasa 9 pagi ini. 

 

Dengan penyenaraian itu, ia menjadikan Bank Islam satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, BIMB berkata, Bank Islam akan menggunakan nama pendek saham sedia ada, kod saham dan  kod nombor pengenalan sekuriti antarabangsa (ISIN) BIMB, masing-masing 'BIMB', '5258' dan 'MYL5258OO008'.

 

“Pengagihan dan pembayaran balik modal selesai semalam berikutan pengkreditan seluruh pegangan saham BIMB dalam Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd ke dalam akaun pemegang saham masing-masing yang layak untuk pengagihan yang dipegang di bawah Sistem Depositori Pusat.

 

“Dimaklumkan bahawa saham Bank Islam adalah sekuriti yang ditetapkan, justeru, semua urus niaga dalam sekuriti tersebut akan dilaksanakan mengikut peruntukan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) dan peraturan Bursa Depository,” menurut kumpulan perbankan itu.

 

Pada masa sama, katanya BIMB telah menerbitkan dua saham biasa baharu kepada Bank Islam berikutan BIMB kini anak syarikat milik penuh Bank Islam.

 

“Seluruh langkah penstrukturan semula korporat itu akan selesai selepas penyenaraian Bank Islam di Pasaran Utama Bursa Securities menggantikan BIMB pada 8 Oktber 2021,” katanya. 

 

Pada April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, dengan status penyenaraian Bank Islam, kumpulan akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri perbankan Islam di negara ini dengan menyasarkan saiz asetnya mencecah RM100 bilion menjelang 2025 berbanding RM75 bilion ketika ini.

 

Beliau berkata, menjelang 2025, Bank Islam berhasrat menawarkan penyelesaian kewangan berasaskan Syariah serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) atau Syariah-ESG dengan menerajui bidang perbankan digital serta kewangan sosial. - DagangNews.com