Bajet 2023: penggiat industri pelancongan di Terengganu harap kerajaan umum lebih banyak insentif khas bersasar | DagangNews Skip to main content

Bajet 2023: penggiat industri pelancongan di Terengganu harap kerajaan umum lebih banyak insentif khas bersasar

Pemandangan di depan Redang Pelangi Resort, Pulau Redang. Gambar ihsan - melancong.my
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 22 Sept - Penggiat industri pelancongan di Terengganu berharap kerajaan akan mengumumkan lebih banyak insentif bersasar untuk mereka dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

 

Penggiat industri khususnya di pulau-pulau peranginan juga berharap kerajaan akan memberi tumpuan ke arah memantapkan lagi kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna untuk memastikan keselesaan pelancong yang datang.

Bajet2023

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pelancongan Kuala Besut, Mohamad Khaizul Che Mohamad Noor berkata, pihaknya turut berharap ada insentif khas untuk mereka yang terjejas ketika musim tengkujuh melanda negara.

 

"Kebiasaannya, pengusaha bot tidak boleh keluar ketika musim tengkujuh bermula Oktober hingga Februari kerana tiada pelancong akan datang ke Pulau Perhentian.

 

"Oleh itu, saya berharap kerajaan akan memberi insentif khas kepada kami untuk melegakan beban kewangan sepanjang tempoh sukar tersebut.

 

"Selain itu, saya berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada projek pemuliharaan Muara Sungai Kuala Besut secepat mungkin kerana kewujudannya nanti dapat melonjakkan lagi industri pelancongan di daerah ini.

 

"Pembinaan projek itu yang turut dikenali sebagai Gerbang Pelancongan Antarabangsa Terengganu sangat penting buat kami untuk meneruskan kelangsungan hidup pasca pandemik COVID-19," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.


 

Mohamad Khaizul Che Mohamad Noor
Mohamad Khaizul Che Mohamad Noor

 


Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan bahawa Bajet 2023 akan memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia untuk berdepan krisis ekonomi global yang semakin mencabar.

 

Kerajaan juga memberi tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat dengan jaminan pembentangan Bajet 2023 itu adalah lebih realistik, dinamik dan fleksibel tanpa meminggirkan mana-mana pihak yang berpaksikan tiga asas iaitu pemulihan, bajet yang responsif dan berupaya memacu ekonomi negara.

 

Bagi pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman pula, beliau berharap kerajaan akan memberi lebih banyak kelonggaran untuk majikan menggajikan pekerja asing dalam bidang pelancongan.

 

Selain itu, dia juga berharap kerajaan terus mengumumkan pelbagai geran perniagaan untuk membantu usahawan bangkit semula membangunkan operasi syarikat mereka yang hampir lumpuh sejak pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, kerajaan perlu memperbanyakkan lagi geran untuk penambahbaikan premis pelancongan di pulau peranginan yang sangat terjejas impak musim tengkujuh dan kesan air laut yang masin hingga merosakkan banyak aset dan struktur bangunan premis.

 

 

hawa abd rahman
Hawa Abd Rahman (dua dari kiri) sentiasa melayan tetamu yang datang ke resort
miliknya di Pulau Kapas, Terengganu


 
"Kami juga berharap kerajaan akan menambah bilangan subsidi bekalan eletrik dan air ke pulau-pulau kerana penggunaan sistem tenaga solar sangat mahal dan bil yang kami terima sangat tinggi.

 

"Industri pelancongan masih dalam fasa pemulihan dan kami sangat mengharapkan ada khabar gembira untuk kami dalam Bajet 2023 untuk menampung semula kerugian yang dialami sepanjang tempoh pandemik baru-baru ini," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Redang Pelangi Resort, Ee Lin Foo pula berharap kerajaan akan meneruskan insentif-insentif sedia ada selain mengumumkan pelepasan atau rebat cukai tertentu terhadap operator pusat pelancongan dalam Bajet 2023 tidak lama lagi.

 

"Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan domestik, kami sentiasa bekerjasama dengan penggiat industri di seluruh Malaysia dengan program-program dua hala dan terbaru kami bekerjasama dengan Tourism Sabah.


 

Terengganu
Kakitangan Redang Pelangi Resort bergambar kenangan dengan kakitangan Tourism Sabah dalam program kerjasama pelancongan baru-baru ini.

 


"Namun kami masih berharap agar kerajaan memberi insentif yang lebih banyak dan menyeluruh untuk menggalakkan orang ramai terus melancong dalam negara dalam pembentangan bajet kali ini khususnya dalam memperhebatkan promosi pelancongan ke negara-negara luar," katanya. - DagangNews.com