Skip to main content

Aset kewangan kasar isi rumah Malaysia meningkat 7.3% - laporan Allianz

 

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Di sebalik cabaran pandemik COVID-19, aset kewangan kasar bagi isi rumah di Asia (kecuali Jepun) meningkat 12.7% pada 2020, lebih pantas berbanding tahun sebelumnya sebanyak 9.8%, demikian menurut Laporan Kekayaan Global Allianz 2021. 

 

Kesemua kelas aset menyaksikan kenaikan kadar pertumbuhan 2 digit, dengan deposit bank berkembang 12.3% diikuti sekuriti (13.9%) dan insurans dan pencen (11.4%). 

 

Bagi Malaysia, laporan itu menunjukkan kadar pertumbuhan aset kewangan kasar bagi isi rumah meningkat sebanyak 7.3% mencecah 18,240 euro (RM87,776) per kapita menjelang akhir tahun ini.

 

Ia didorong peningkatan sekuriti sebanyak 10.6% manakala insurans hayat dan aset dana pencen masing-masing berkembang 7.4% dan 4.2%. 

 

Hasilnya, ia menyaksikan bahagian insurans hayat dan aset dana pencen bagi portfolio isi rumah meningkat hampir 40% manakala deposit dan sekuriti masing-masing sekitar 30%. 

 

Dari segi kedudukan aset kewangan bersih per kapita, Malaysia berada di kedudukan keenam di Asia di belakang China dan ke-37 di peringkat global.

 

Menurut Ketua Ekonomi Allianz, Ludovic Subran di dalam laporan berkenaan, kebanyakan isi rumah sebenarnya tidak membuat simpanan tetapi hanya meletakkan duit mereka di satu tempat.

 

Malah, beliau menyifatkan, semua wang yang terbiar di akaun bank adalah peluang yang disia-siakan, sebaliknya mereka perlu memanfaatkannya dengan melabur untuk persaraan dan peralihan hijau yang membolehkan komuniti mampu berdepan perubahan dari segi iklim dan demografi. 

 

"Kebimbangan saya adalah apabila isi rumah mula terlibat dalam aktiviti pelaburan wang atau menjual emas dan sebagainya (dishoard), dengan wang itu akan berakhir sebagai perbelanjaan lepas geram yang hanya mendorong kepada berlakunya inflasi. 

 

"Oleh itu, kita amat memerlukan satu bentuk 'budaya menyimpan' yang baharu dalam kalangan isi rumah," katanya.

 

Allianz menerbitkan laporan tersebut buat edisi ke-12 untuk meninjau kedudukan aset dan hutang isi rumah di hampir 60 buah negara di bawah mikroskop.

 

Meskipun berdepan cabaran hebat akibat krisis COVID-19, ia mendapati aset kewangan global meningkat sebanyak 9.7% pada 2020, mencecah paras sehingga 200 trilion euro buat kali pertama.

 

Laporan itu menunjukkan simpanan adalah pemacu utama memandangkan perintah sekatan secara drastik mengurangkan penggunaan, sekali gus membawa kepada fenomena 'terpaksa simpan'. 

 

Simpanan baharu melonjak sehingga 78% kepada 5.2 trilion euro pada tahun lalu. Buat kali pertama, simpanan bank di seluruh dunia meningkat 2 digit sebanyak 11.9% berbanding 8% yang direkodkan ketika krisis kewangan 2008. 

 

Aset kelas sekuriti pula meningkat 10.9% manakala insurans dan aset dana pencen pula menyaksikan perkembangan yang lemah, meningkat 6.3%. - DagangNews.com