Zurich Malaysia, Aeon Bank jalin kerjasama tawar produk perlindungan digital patuh syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zurich Malaysia, Aeon Bank jalin kerjasama tawar produk perlindungan digital patuh syariah

Junior Cho, CEO Negara dan Ketua Zurich Malaysia (tiga dari kanan) bersama Raja Teh Maimunah Nur Fatihah Mustafa (dua dari kanan) dan Shamsul Azman (kanan)
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - Zurich Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan bank Islam digital, Aeon Bank (M) Berhad bagi menawarkan perlindungan kesejahteraan peribadi dan kewangan pelanggan menerusi produk patuh Syariah. 

 

Perkongsian Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad (ZGTMB) bersama Aeon Bank menandakan komitmen terhadap penggunaan teknologi kewangan (fintech) dengan menawarkan produk perlindungan digital dalam ekosistem kewangan Islam Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank, Raja Teh Maimunah berkata, kerjasama ini pastinya bakal meneguhkan usaha ke arah menawarkan produk takaful patuh Syariah bagi rakyat Malaysia. 

 

"Kami mengenal pasti bahawa terdapat jurang dalam pasaran pelan perlindungan mikro, maka dengan itu kami berazam untuk memudahkan akses kepada produk takaful yang mampu milik, supaya rakyat Malaysia boleh memastikan mereka mampu untuk melindungi insan tersayang serta dapat membantu menghadang musibah di waktu kesusahan. 

 

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Zurich Malaysia ke arah menjayakan komitmen bersama ini,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aeon Bank, Visa jalin kerjasama ubah landskap pembayaran digital di Malaysia

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZGTMB, Shamsul Azman berkata, pihaknya menawarkan Zurich Edge kepada Aeon Bank yang membolehkan pengalaman pengguna yang lancar, diperibadikan dan lebih berkaitan. 

 

"Kerjasama dengan Aeon Bank menyerlahkan dedikasi kami untuk membantu rakyat Malaysia dalam melindungi aset mereka dan membuka laluan baharu untuk pengembangan sektor kewangan Islam dalam ruang digital,” katanya.

 

Wakil Sah ZTMB, Nur Fatihah Mustafa berkata, kerjasama dengan Aeon Bank adalah untuk melaksanakan wawasan bersama iaitu mempromosikan kewangan patuh Syariah yang inklusif bukan sahaja untuk masyarakat Islam, tetapi untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat. 

 

"Melalui kerjasama berbilang tahun ini, kami bersedia memenuhi keperluan dinamik pelanggan yang celik digital masa kini dan berada di barisan hadapan dalam inovasi digital.

 

"Tiada keutamaan yang lebih penting daripada perlindungan yang boleh kami sediakan untuk keluarga dan orang tersayang dan kami teruja dan bangga dapat memacunya melalui kerjasama dengan Aeon Bank,” ujarnya. - DagangNews.com