KUALA LUMPUR 7 Julai - Telekom Malaysia Berhad (TM) telah melantik Datuk Zainal Abidin Putih sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa 1 Ogos 2023 akan datang.
Dalam satu kenyataan media hari ini, TM berkata beliau akan menggantikan Tan Sri Azlan Hashim yang melengkapkan tempoh perkhidmatan dua tahun beliau pada 31 Julai 2023.
Zainal Abidin kini merupakan Pengerusi Yayasan Laporan Kewangan (FRF), Land and General Berhad, Touch 'n Go Sdn Bhd dan Tokio Marine Insurans (Malaysia) Bhd, serta Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad dan beberapa syarikat sendirian berhad .
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, CIMB Bank Berhad, Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan Presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).
Sebagai Pengerusi, Zainal Abidin akan bertanggungjawab mengawasi keseluruhan tadbir urus dan hala tuju strategik TM serta bekerja rapat dengan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan bagi memacu fasa pertumbuhan seterusnya untuk TM dan mengukuhkan kedudukan pasarannya.
Sementara itu, jawatan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu akan disandang oleh Amar Huzaimi Md Deris bermula 1 Ogos 2023.
Beliau akan menggantikan Datuk Imri Mokhtar, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan tiga tahun beliau pada 31 Julai 2023.

Kumpulan itu berkata, Amar telah memulakan kerjayanya dengan TM selepas graduasi pada tahun 1998 dan kini memimpin perniagaan pukal domestik dan global TM.
Pengalaman beliau merangkumi kawalan kewangan, audit dalaman, hal ehwal korporat dan kawal selia, Pejabat GCEO, sehingga mencapai tahap hari ini, iaitu mengetuai dan menguruskan perniagaan di TM Global.
Menurut TM, visi strategiknya, diiringi pengalaman operasi dan pemahaman tentang teknologi terkini, menjadikan beliau tokoh yang ideal untuk menerajui evolusi TM dari sebuah Telco menjadi syarikat teknologi (TechCo).
Pencapaian beliau setakat ini telah mendapat perhatian, dibuktikan dengan pengiktirafan sebagai salah seorang daripada 40 pemimpin perniagaan muda CPA Australia (2012) dan berada dalam senarai Power 100 dalam kalangan penyedia perkhidmatan pukal oleh Capacity Media (2019, 2023). - DagangNews.com








