YTL PowerSeraya peroleh tender bina loji janakuasa sedia hidrogen 600MW di Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL PowerSeraya peroleh tender bina loji janakuasa sedia hidrogen 600MW di Singapura

Foto YTL PowerSeraya Pte Ltd
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Anak syarikat YTL Power International Berhad, YTL PowerSeraya Pte Ltd telah memperoleh permintaan cadangan (RFP) pertama untuk membangunkan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) dengan teknologi sedia hidrogen dengan kapasiti 600MW (megawatt) di Singapura.

 

Loji janakuasa sedia hidrogen yang bakal dibina di tapak Stesen Janakuasa Pulau Seraya (PSPS) itu disasarkan siap pada 31 Disember 2027 yang dianggarkan menelan kos S$800 juta (RM2.8 bilion).

 

RFP tersebut adalah di bawah rangka kerja proses berpusat baharu Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA).

 

Projek itu akan melengkapkan dan mempelbagaikan campuran kuasa Singapura bersama solar, elektrik yang diimport dan potensi sumber tenaga rendah karbon yang lain, kata YTL Power International dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Kumpulan itu berkata loji janakuasa YTL PowerSeraya juga bersedia untuk memberi impak yang besar untuk menyokong kapasiti penjanaan negara untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif YTL PowerSeraya, John Ng berkata, syarikat itu komited untuk memanfaatkan teknologi termaju dan amalan mampan untuk menyumbang kepada matlamat keselamatan tenaga dan alam sekitar Singapura.

 

“CCGT YTL PowerSeraya akan sekurang-kurangnya sedia hidrogen pada 30% isipadu, dengan keupayaan untuk diubah suai untuk menjadi 100% sedia hidrogen secara operasi pada masa hadapan, membantu dalam pengurangan pelepasan kerana pembakaran gas hidrogen tidak menghasilkan gas rumah hijau, dengan itu menekankan komitmen organisasi terhadap amalan lestari alam sekitar.

 

“Usaha monumental oleh YTL PowerSeraya ini adalah penting untuk Singapura mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih jangka panjangnya menjelang 2050, di bawah Pelan Hijau Singapura,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, projek tersebut selaras sepenuhnya dengan komitmen kumpulan untuk melabur bagi jangka panjang dalam teknologi rendah karbon, infrastruktur dan rumusan tenaga termaju.

 

“Ini membolehkan kami terus memberikan hasil terbaik untuk manfaat pelanggan dan komuniti di tempat kami beroperasi. Kami berpuas hati dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada YTL PowerSeraya untuk membina masa depan dan menyampaikan projek perintis ini di Singapura,” tambahnya. - DagangNews.com