YTL Power sahkan kerjasama dengan KDEB Waste Management bangunkan loji sisa kepada tenaga RM4.5 bilion di Rawang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Power sahkan kerjasama dengan KDEB Waste Management bangunkan loji sisa kepada tenaga RM4.5 bilion di Rawang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - YTL Power International Bhd mengesahkan bahawa ia bekerjasama KDEB Waste Management Sdn Bhd untuk membina loji sisa kepada tenaga (WTE) bernilai RM4.5 bilion di Rawang, Selangor.

 

“Syarikat adalah pemaju bersama KDEB Waste Management untuk cadangan loji WTE 2,400 tan sehari di Selangor, dengan kapasiti penjanaan kasar 58 megawatt (MW),” kata YTL Power dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam mengesahkan laporan The Edge mengenai kerjasama itu.

 

KDEB Waste Management merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) yang ditubuhkan dengan objektif untuk menguruskan perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Selangor.

 

Berdasarkan dokumen awal, The Edge memetik sumber yang berkata loji berkenaan, Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah, dijadualkan dibina di atas tapak seluas 99 hektar di Rawang.

 

Loji tersebut akan menjana 58MW (megawatt) elektrik menggunakan sisa perbandaran dari Petaling Jaya, Hulu Selangor, Shah Alam, Subang Jaya, Ampang Jaya dan Selayang.

 

Selain itu, katanya, rancangan itu adalah untuk bahan buangan daripada loji itu, seperti abu terbang dan abu dasar, digunakan untuk pengeluaran simen.

 

Tambahnya, kejuruteraan, reka bentuk dan penasihat, Aurecon Lestari Sdn Bhd difahamkan telah terlibat untuk mengendalikan bahagian penilaian impak alam sekitar dan penilaian impak sosial projek.

 

Pada waktu penulisan, saham YTL Power susut 2 sen atau 1.1% kepada RM1.78, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM14.5 bilion. - DagangNews.com