YTL Cement, KPT jalin kerjasama perkenal Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri pertama di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Cement, KPT jalin kerjasama perkenal Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - YTL Cement dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri pertama negara, menerusi kerjasama dengan lima universiti tempatan.

 

Lima universiti berkenaan, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak.

 

Menerusi kerjasama itu, YTL Cement  akan menganugerahkan biasiswa kepada 40 pelajar program sarjana dan PhD untuk penyelidikan kelestarian Landskap Karst Batu Kapur Tropika di Malaysia, dengan geran padanan daripada KPT selama lima tahun. 

 

Selain itu, YTL Cement bekerjasama dengan pasukan pakar untuk menjalankan kerja-kerja pemetaangeologi, geomorfologi secara saintifik bagi komponen biologi bernilai tinggi di Geotapak Bukit Kanthan. 

 

Penentuan sempadan pemuliharaan ini bertujuan menyokong usaha Kerajaan Negeri Perak yang telah mengiktiraf Lembah Kinta sebagai Geopark Negara, bagi menggalakkan pembangunan lestari dan seimbang. Konsortium Penyelidikan ini adalah lanjutan inisiatif tersebut.

 

Mengulas mengenai kerjasama itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Konsortium Penyelidikan itu adalah pertama seumpamanya di negara ini.

 

Katanya, ia bagi mewujudkan rangkaian kerjasama universiti-industri dan memastikan bahawa penyelidikan pasca siswazah universiti relevan dengan keperluan negara. 

 

 

ytl

 

 

"Pada masa yang sama, ia akan mengukuhkan hubungan antara universiti dan industri, untuk manfaat bersama.

 

"Saya yakin hasil penyelidikan ini akan memberikan maklumat penting sebagai pelengkap kepada Dasar Mineral Negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh berkata, adalah penting untuk mencapai keseimbangan antara pemuliharaan dan pembangunan negara. 

 

Katanya, penyelidikan itu akan memberi pemahaman menyeluruh mengenai Landskap Kars Batu Kapur Tropika, yang diperlukan untuk membuat keputusan berinformasi, tentang pengurusan lestari landskap berkenaan.

 

"YTL Cement adalah yang pertama dan satu-satunya syarikat di Malaysia menjalankan usaha pemuliharaan di tapak kuari yang aktif. 

 

"Malah, kami juga merancang untuk menubuhkan pusat penyelidikan khusus di Geotapak Bukit Kanthan yang akan berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Kars Batu Kapur Tropika," katanya. - DagangNews.com