Youbeli , HDC bekerjasama buka peluang kepada peniaga tempatan lebarkan sayap ke Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Youbeli , HDC bekerjasama buka peluang kepada peniaga tempatan lebarkan sayap ke Indonesia

(Dari kiri) Chua Khai Suan dan Hairol Ariffein Sahari telah menandatangani MoA tersebut di SIDEC, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Youbuy Online Sdn Bhd (Youbeli) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Halal Development Corporation Berhad (HDC) untuk mempromosi pakej ‘Jual ke Indonesia’ melalui platform Blibli.

 

Menurut satu kenyataan hari ini, Youbeli berkata kerjasama tersebut memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang pengetahuan, kepakaran, sumber dan keupayaan teknikal bagi mempromosi pakej tersebut.

 

Dengan melanggan pakej ini, peniaga dapat menyenaraikan produk jualan mereka ke dalam platform penjualan atas talian Indonesia iaitu Blibli.com dan boleh mengurus operasi mereka dengan lancar melalui Pusat Penjual Youbeli.

 

MoA ini juga telah menggariskan komitmen masing-masing untuk melaksana dan menjalin kerjasama untuk mempromosi inisiatif Halal Integrated Platform (HIP), Youbeli.com dan Youbeli Malaysia Official Store di platform Blibli.com.

 

“Kerjasama itu akan mewujudkan peluang kepada peniaga tempatan Malaysia untuk berkembang maju dalam landskap digital yang sentiasa berkembang, dengan memanfaatkan pakej ‘Jual ke Indonesia’, iaitu perkongsian strategik antara Youbeli.com dan Blibli.com,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Youbeli, Chua Khai Suan.

 

Beliau menambah bahawa kerjasama tersebut penting kepada Youbeli untuk menerajui kejayaan sebagai sebuah platform e-dagang membeli-belah terunggul di Malaysia.

 

 

Gambar dari FB Youbeli
Gambar dari FB Youbeli

 

 

Menurut syarikat itu, HIP akan menjadi satu platform atas talian lengkap untuk menghubungkan pelbagai industri dalam pasaran halal, di samping meningkatkan lagi transaksi bagi menggalakkan perkembangan persekitaran perniagaan yang pesat serta meningkatkan ekosistem halal dengan lebih baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata kerjasama itu membuka laluan kepada HIP dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk melakukan eksport e-dagang rentas sempadan seperti ke Indonesia.

 

“Kami berharap melalui kerjasama ini, lebih banyak peningkatan terhadap jumlah produk halal yang dieksport dari Malaysia ke Indonesia memandangkan Indonesia merupakan salah sebuah destinasi eksport utama bagi produk halal tempatan kita,” tambahnya.

 

Melalui kerjasama ini, Youbeli dan HDC akan menyediakan peluang kepada ahli-ahli untuk mempunyai jenama sendiri dalam pasaran Indonesia melalui program e-dagang rentas sempadan, termasuk rancangan jangka panjang untuk pelaburan terhadap perniagaan-kepada-pelanggan (B2C) dengan bantuan penjualan dan saluran pemasaran.

 

HDC akan membangunkan kempen pemasaran yang bersasar kepada lebih 10,000 ahli HIP dan juga kepada ahli industri halal yang lain termasuklah memanfaatkan pengaktifan dalaman HDC bersama usahawan-usahawan halal.

 

Sementara itu, Youbeli akan menyediakan sokongan teknikal, logistik, pemasaran, perdagangan dan penyelesaian bagi semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Youbeli dan Blibli.com kepada lebih dari 5,000 penjual.  - DagangNews.com