Yinson Production peroleh pembiayaan RM1.05 bilion bagi FPSO Maria Quitéria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson Production peroleh pembiayaan RM1.05 bilion bagi FPSO Maria Quitéria

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Yinson Production telah memperoleh kemudahan pinjaman berjangka AS$230 juta (RM1.05 bilion) untuk kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Maria Quitéria daripada Global Infrastructure Partners (GIP).

 

FPSO yang hampir siap 70% pada Jun 2023 tersebut adalah untuk padang Jubarte sebagai sebahagian daripada Projek Bersepadu Parque das Baleias di luar pesisir Brazil.

 

FPSO berkenaan disasarkan mencapai minyak pertama pada separuh kedua 2024.

 

Yinson Production merupakan unit perniagaan Yinson Holdings Berhad bagi pengeluaran luar pesisir.

 

GIP merupakan pengurus dana infrastruktur bebas terkemuka dengan lebih kurang AS$100 bilion dalam aset di bawah pengurusan.

 

Yinson Production telah dianugerahkan kontrak bagi pembekalan, operasi dan penyelenggaraan FPSO Maria Quitéria oleh Petróleo Brasileiro S.A. pada Februari 2022.

 

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata urus niaga berkenaan mempamerkan kekuatan Yinson Production dalam menarik modal tercanggih dan keupayaannya memperluaskan asas pendanaannya melangkaui Asia.

 

“Kami teruja untuk terus membina perkongsian ini dan mengembangkan lagi rangkaian peminjam dan pelabur kami di seluruh dunia untuk beralih kepada peluang baharu dalam pasaran FPSO dan mencipta nilai untuk pemegang saham kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Kemudahan pinjaman itu adalah transaksi pertama antara Yinson Production dan GIP, serta pembiayaan pertama GIP bagi FPSO.

 

Pada waktu penulisan, saham Yinson menokok 1 sen atau 0.4% kepada RM2.56, memberikannya permodalan saham RM7.8 bilion.  - DagangNews.com