Yinson dijangka lebih kukuh pada 2HFY24 disokong kitaran menaik pasaran FPSO – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yinson dijangka lebih kukuh pada 2HFY24 disokong kitaran menaik pasaran FPSO – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt - Yinson Holdings Berhad dijangka kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (2HFY24) disokong kitaran menaik pasaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang berkembang pesar.

 

Susulan laporan kewangan Yinson bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata pendapatan 1HFY24 kumpulan itu merangkumi 54% daripada unjuran tahun penuh firma namun menjangkaui anggaran konsensus pada 66%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran FPSO sedang berkembang pesat dan Yinson dilihat di kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan kitaran naik ini.

 

“Memandangkan prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan inisiatif ESG yang teguh, Yinson tidak dapat dipertikaikan lagi sebagai pilihan utama ‘beli’ dalam sektor,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB menjangkakan prestasi kumpulan lebih kukuh dalam separuh kedua disebabkan: (i) sumbangan penuh daripada FPSO Anna Nery; (ii) pengebilan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) dipercepatkan untuk kedua-dua FPSO Agogo dan FPSO MQ (PDB); dan (iii) pentauliahan projek solar Nokh pada Oktober 2023.

 

“Kami meramalkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih tiga tahun (FY22-25E) kukuh sebanyak 33% (dengan potensi menaik) sementara kami menganggap pengiktirafan kadar sewa bot kosong selepas penyiapan EPCIC FPSO Atlanta dan FPSO MQ (PDB) pada tahun 2024.

 

“Unjuran pendapatan teras kami bagi FY24/FY25 disemak sedikit sebanyak +2%/-3%,” tambahnya.

 

Di samping itu, Maybank IB mendedahkan bahawa pasaran FPSO didapati sedang berkembang pesat dengan anggaran 13 anugerah FPSO sepanjang 12 bulan akan datang, dengan purata satu unit sebulan – dengan majoritinya adalah FPSO yang cukup besar (dengan perbelanjaan modal melebihi AS$1 bilion.

 

Tambahnysa, keutamaan pelanggan adalah untuk pengendali FPSO yang mempunyai rekod prestasi kukuh dan berupaya mengumpul pembiayaan.

 

Daripada sumber industri, firma itu menekankan bahawa kebanyakan pengendali FPSO mempunyai kapasiti terhad untuk mengambil pekerjaan baharu disebabkan pesanan semasa sedia ada.

 

“Dengan kedua-dua FPSO Atlanta dan EPCIC FPSO MQ (PDB) akan berakhir pada pertengahan tahun depan, kami berpendapat Yinson dapat mengambil satu hingga dua pekerjaan FPSO binaan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang – dengan syarat projek tersebut boleh dibank dengan bayaran pendahuluan yang tinggi daripada pelanggannya,” jelasnya.

 

Pada pukul 10:48 pagi ini, saham Yinson kekal pada RM2.48, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM7.6 bilion. - DagangNews.com