Yayasan MR DIY lancar program biasiswa pertama, bantu pelajar berkelayakan lanjutkan pengajian | DagangNews Skip to main content

Yayasan MR DIY lancar program biasiswa pertama, bantu pelajar berkelayakan lanjutkan pengajian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Yayasan MR DIY melancarkan program biasiswa pertamanya bagi memberi bantuan kewangan kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian.

 

Program biasiswa itu bertujuan memberikan sokongan kepada pelajar yang layak dengan rekod akademik yang cemerlang selain memiliki ciri-ciri kepimpinan serta penglibatan khidmat masyarakat yang kukuh bagi meringankan beban kewangan mereka.

 

Yayasan itu hari ini mengumumkan dua penerima pertamanya iaitu, Cheong Wai Kee, yang mengikuti peganjian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan. 

 

Penerima kedua ialah Tan Zhi Liang, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) dalam Perakaunan. Kedua-duanya merupakan pelajar semester keempat dan semester kedua Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar, Perak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR DIY, Zaleha Mohd Mydin berkata, pihaknya komited untuk menyediakan peluang kepada pelajar yang berpotensi bagi merealisasikan potensi sebenar mereka.

 

diy
Penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),  Tan Zhi Liang (kiri) dan Cheong Wai Kee (kanan) merupakan penerima pertama Biasiswa Yayasan MR DIY.

 

Beliau berkata, program biasiswa ini menyediakan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang mempunyai pencapaian akademik yang luar biasa, keupayaan memimpin dan dedikasi dalam khidmat masyarakat.

 

"Wai Kee dan Zhi Liang berjaya memunjukkan kualiti mereka. Yayasan MR DIY akan terus memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia dalam memperjuangkan perkara yang sama.

 

"Kami berhasrat untuk terus memberi impak positif kepada kehidupan anak muda di negara ini, memperkasaskan mereka untuk menjadi pemimpin yang mampu memberikan impak kepada generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Yayasan MR DIY memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar, kesihatan, pembinaan kapasiti, dan memupuk seni dan budaya. 

 

Ditubuhkan pada Jun 2023, yayasan ini komited memberi impak positif kepada semua rakyat Malaysia.- DagangNews.com