Wezmart, TAR UMT jalin kerjasama strategik pupuk kemajuan pendidikan dan industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wezmart, TAR UMT jalin kerjasama strategik pupuk kemajuan pendidikan dan industri

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Wezmart International Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Tunku Abdul Rahman Pengurusan dan Teknologi (TAR UMT) bagi pertumbuhan bersama, pertukaran pengetahuan, dan kemajuan industri dengan penekanan khusus untuk menyediakan pelajar baharu era digital.

 

Wezmart akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar TAR UMT tentang teknologi kawal selia dan amalan terbaik dalam industri pematuhan demi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan mengenai landskap kerja pematuhan digital yang berkembang pesat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wezmart, Yee Chee Mun berkata, pada masa hadapan, golongan profesional akan mengecapi kecekapan, fleksibiliti dan keuntungan yang lebih tinggi apabila mereka menerima gabungan kehidupan kerja baharu secara konsisten. 

 

"Dengan satu tablet, mereka akan diberi kuasa untuk bekerja pada bila-bila masa, di mana sahaja, dengan menyepadukan kehidupan profesional dan peribadi mereka dengan lancar melalui Ruang Kerja Digital BPOSA360," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Presiden TAR UMT, Prof Dr Lee Sze Wei pula berkata, kerjasama dengan industri sentiasa menjadi salah satu bidang tumpuan TAR UMT, yang mana rumusan digital yang dibangunkan Wezmart akan memberi manfaat kepada pelajar-pelajar dan kakitangan.

 

"Pemeteraian MoU ini menjadi tonggak penting untuk TARUMT dan banyak faedah boleh dijana melalui kerjasama ini," katanya.

 

Wezmart dan TAR UMT akan memperkukuh pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam budaya kerja yang dipacu teknologi melalui bengkel-bengkel, seminar-seminar dan sesi-sesi praktikal. 

 

 

wezmart
(Dari kiri) Dekan TAR UMT, Wee Chu Kok, Prof Dr Lee Sze Wei, Yee Chee Mun dan Ketua Pegawai Digital Wezmart, Ang Boon Chow ketika majlis menandatangani MoU antara Wezmart dan TAR UMT.

 

 

Kerjasama itu juga akan mewujudkan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan industri profesional, sekali gus memupuk hubungan yang melangkaui batasan bilik darjah.

 

Menerusi MoU yang akan berlangsung selama lima tahun itu, Wezmart akan berkongsi secara aktif pengetahuan teknikal dan pengalaman berkaitan teknologi kawal selia di TAR UMT dalam memastikan pelajar mahir dalam kemajuan industri terkini. 

 

Wezmart juga akan menyediakan pelajar dan kakitangan Fakulti Perakaunan, Kewangan dan Perniagaan TAR UMT dengan peluang latihan untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam sektor teknologi kawal selia.

 

Kedua-dua pihak akan bersama-sama menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di TAR UMT yang akan berfungsi sebagai pusat untuk inovasi dan penerokaan rumusan teknologi kawal selia. 

 

Wezmart juga menawarkan biasiswa kepada pelajar TAR UMT Fakulti Perakaunan, Kewangan dan Perniagaan yang layak, untuk menggalakkan kecemerlangan akademik dalam bidang yang penting untuk transformasi digital. - DagangNews.com