Wajibkan pelajar asing belajar Bahasa Melayu: Apakah akan hilang tarikan Malaysia sebagai hab pendidikan? | DagangNews Skip to main content

Wajibkan pelajar asing belajar Bahasa Melayu: Apakah akan hilang tarikan Malaysia sebagai hab pendidikan?

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkasa DBP untuk bertindak ke atas penggunaan salah bahasa di Malaysia.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

SAYA membaca laporan pelajar asing yang menuntut di dalam negara wajib mengambil subjek Bahasa Melayu, ini dasar pemerkasaan Bahasa Kebangsaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ini mengejutkan dengan pertanyaan adakah pelajar asing akan berebut-rebut untuk menuntut di Malaysia? Tidak perlu ke negara-negara lain yang menawarkan bahasa Inggeris dan bukan bahasa tempatan?

 

Mengapa wajib belajar Bahasa Melayu kalau rakyat Malaysia lebih senang berbahasa Inggeris.

 

Beliau turut bercita-cita agar Bahasa Melayu menjadi bahasa kedua ASEAN. Itu adalah cita-cita bangsa Melayu semenjak merdeka dengan Indonesia yang ramai penduduk lebih dekat daripada kita untuk mencapainya.

 

Menurut Ismail Sabri, UMNO juga mesti menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan perkara 152 yang juga termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 3.5.

 

Pertamanya UMNO perlu bertukar Pekembar dalam bahasa Melayu. Mengapa guna UMNO dalam bahasa Inggeris?

 

Beliau menambah Akta Dewan Bahasa dan Pustaka akan diperkasakan dengan badan itu akan diberikan kuasa penguatkuasaan. Menurut Ismail Sabri sebagai contoh penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda.

 

"Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu, justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana 'Bahasa Jiwa Bangsa'," katanya.

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa konsisten di dalam mendaulatkan Bahasa Melayu.

 

Saya pun berbangga dengan bahasa Melayu dengan menulis 30 buah buku, cerpen, sajak, anekdot, cerita, novel, artikel dan esei yang beratus jumlahnya. Tulisan saya semenjak sekolah hingga hari ini dengan memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak 5 kali, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan sebanyak 9 kali, Hadiah Novel dan lain-lain.

 

Tetapi saya berkomunikasi dan berinteraksi dalam bahasa Inggeris kerana percampuran dengan pelbagai bangsa sejak duduk di Dubai.

 

Saya mempunyai tiga orang anak yang tidak mengambil SPM dan kurang fasih berbahasa Melayu kerana bersekolah di Dubai sejak dari kecil hingga tamat persekolahan. Anak-anak saya lebih kepada Bahasa Inggeris dan Arab kerana percampuran.

 

Apabila mereka dihantar untuk matriks di universiti Malaysia, bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya. Saya rasa hanya Universiti Kebangsaan Malaysia mengajar dalam bahasa Melayu untuk setiap kuliah, mungkin ada lagi saya tidak pasti.

 

Mungkin universiti yang mengajar agama dengan bahasa Arab yang utama.

 

Saya pula dihantar ke New Zealand dan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sehingga sekarang, apalagi saya tinggal di luar negara selama 18 tahun. Apabila saya balik Malaysia kerana strok, boleh dikatakan hampir 70% bercakap bahasa Inggeris.

 

Di mana bahasa Melayu apabila politikus lebih senang berbahasa Inggeris di media?

 

Kita mahu semua universiti mengajar dalam bahasa Melayu bukan hanya papan-papan tanda. Apalah sangat bahasa di papan-papan tanda berbanding di universiti.

 

Selain itu semua syarikat berkaitan kerajaan atau `GLC’ wajar dipanggil `SBK’ terlebih dahulu dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

 

Termasuk semua syarikat asing yang berada di bumi Malaysia. Bolehkah?


 

fudzail

 

Kalau dilihat perangkaan, permohonan daripada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia telah mencatatkan corak yang semakin meningkat sejak wabak COVID-19 melanda negara.

 

Sehingga 31 Oktober 2021, lebih 33,000 permohonan untuk pelbagai kursus telah diterima dan  boleh mencapai 40,000 permohonan menjelang 2022.

 

Permohonan daripada pelajar antarabangsa adalah sekitar 50,000 pada 2019, sebelum menurun kepada kira-kira 30,000 pada tahun 2021 akibat pandemik COVID-19.

 

Angka itu meningkat semula tahun ini dengan 33,000 permohonan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2021.

 

Dengan menyasarkan 40,000 permohonan pelajar antarabangsa mencerminkan corak yang semakin baik.

 

Bidang pengajian yang sering mendapat permintaan tinggi di Malaysia ialah sains, perniagaan, sains sosial dan kewangan Islam.

 

Malaysia berpotensi menjana kesan berganda melalui aliran tunai mencecah kira-kira RM15.6 bilion sekiranya 250,000 pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran di negara ini menjelang 2025.

 

Sasaran menjelang 2025 dan boleh dicapai dengan meningkatkan promosi peluang melanjutkan pelajaran di Malaysia.


 

fudzail

 


Antara faktor penarik untuk belajar di Malaysia ialah yuran pendidikan yang berpatutan, kos sara hidup yang berpatutan untuk pelajar dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pembelajaran.

 

Kini pelajar antarabangsa dipaksa dengan diwajibkan untuk mengambil bahasa Melayu.

 

Permohonan untuk pengajian di peringkat ijazah dan kedoktoran juga meningkat secara drastik. Dengan lebih 10,000 permohonan untuk pengajian kedoktoran iaitu dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

 

Menurut laman web Kementerian Pengajian Tinggi, terdapat 95,955 pelajar antarabangsa yang mendaftar di institusi pengajian tinggi dan politeknik Malaysia pada 2020, meningkat daripada 93,570 pada 2019.

 

Sebilangan besar pelajar antarabangsa di Malaysia berasal dari negara Islam, yang majoritinya telah mendaftar di institusi pengajian tinggi swasta.

 

Terdapat 92 universiti di negara ini. Universiti Malaya ialah pilihan pertama pelajar antarabangsa dan populasi pelajar antarabangsa datang dari lebih 80 negara yang berbeza.

 

UM percaya kampus berbilang budaya dan multinasional akan memperkayakan pengalaman pelajar dari segi kepelbagaian sosial dan budaya.


 

fudzail

 


Ada 23% pelajar datang dari luar negara. Tenaga pengajar terdiri daripada lebih daripada 2,900 pakar.

 

Sebilangan besar pensyarah adalah pakar asing. UM mempunyai perjanjian pertukaran dengan banyak institusi pendidikan. Adakah pakar perlu belajar Bahasa Melayu?

 

Berbalik pada Perdana Menteri yang katanya, tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh menggunakan bahasa ibunda sendiri.

 

Perkataan itu telah diucapkan semenjak merdeka 64 tahun lalu dan kita menyuruh pelajar asing wajib belajar Bahasa Melayu sebelum mengambil pengajian di universiti.

 

Baguslah kalau semua universiti menggunakan Bahasa Melayu 100% dengan pelajar asing dan antarabangsa belajar Bahasa Melayu dengan fasih, lebih fasih dari rakyat Malaysia.

 

Lebih utama, UMNO menjadi Pekembar!    

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com.

 

Disclaimer: Artikel di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan polisi Editorial portal DagangNews.com