KUALA LUMPUR 12 Jan - Volvo Car Malaysia menyasarkan sebanyak 75% daripada jualan dipacu menerusi rangkaian model Recharge Pure Electric menjelang 2025.
Ia susulan pertumbuhan jualan Volvo sebanyak 43% kepada 3,194 kenderaan pada 2022 berbanding tahun sebelumnya yang dipacu dengan pelancaran dua buah kenderaan elektrik dipasang secara tempatan, iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo C40 Recharge Pure Electric.
Pencapaian tersebut menandakan tahun ketujuh berturut-turut pertumbuhan jualan untuk syarikat automotif tersebut, yang mana sebuah rekod baharu untuk Volvo.
Disember 2022 juga menandakan bulan yang paling berjaya untuk Volvo dengan lebih daripada 395 unit yang berjaya dijual.
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkata, pelancaran dua kenderaan elektrik yang dipasang secara tempatan merupakan penggalak kepada pertumbuhan jualan mereka.
Katanya, bahagian pasaran kenderaan elektrik semakin meningkat secara global, dan yakin bahawa perkara serupa akan berlaku di Malaysia.
"Pada peringkat global, jumlah keseluruhan jualan Volvo pada 2022 sebanyak 615,121 turut terkesan dengan cabaran merentasi rantaian bekalan dan sekatan pengeluaran akibat kekurangan komponen dan penutupan berkaitan COVID-19.

"Namun begitu, permintaan untuk kenderaan Volvo kekal kukuh dengan jualan keseluruhan barisan Recharge dengan rangkaian kuasa hibrid Pure Electric dan Plug-in Hibrid mencecah 43.8% pada Disember 2022, manakala kereta elektrik sepenuhnya pula menyumbang 20.1% daripada jualan global untuk bulan sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dilancarkan pada Mac 2022, Volvo XC40 Recharge Pure Electric merupakan sebuah kejayaan besar, dan syarikat tersebut masih lagi dalam proses penghantaran kereta kepada para pelanggan dengan bank pesanan yang sihat sehingga tahun ini.
Volvo C40 Recharge Pure Electric juga menerima sambutan yang menggalakkan daripada para pembeli, dengan lebih daripada 100 kenderaan telah dipesan secara dalam talian hanya dalam tempoh 10 hari setelah pelancarannya pada 14 Disember 2022.
Kedua-dua model tersebut dipasang di kilang pembuatan Volvo di Shah Alam dan merupakan dua model kenderaan elektrik pemasangan tempatan pertama yang dijual di Malaysia.
Volvo komited dalam cita-cita globalnya untuk mencapai kemampanan dan sedang dalam rangka untuk menjadi syarikat kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030. - DagangNews.com








