SHAH ALAM 25 Sept - Penghasilan video penyampaian sajak mengenang tokoh dan pejuang kemerdekaan membawa tuah kepada seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meraih tempat ketiga dalam Peraduan Video Kreatif anjuran DagangNews bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023, baru-baru ini.
Siti Khadijah Kamar, 23, yang juga pelajar jurusan Pendidikan Biologi UPSI itu menerima hadiah RM200 beserta sijil penyertaan.
Menerusi video itu, dia mengingatkan generasi baharu agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh kemerdekaan kerana ia adalah satu cara menyemai semangat patriotisme serta cinta kepada negara.
Katanya, penyertaan dalam pertandingan sajak berbentuk video merupakan perkara baharu baginya.
"Saya jarang memasuki pertandingan sajak dalam bentuk video, ini merupakan kali pertama dan saya cuba menyampaikannya dalam video. Sebelum ini saya hanya memasuki pertandingan sajak secara langsung di hadapan penonton," katanya ketika dihubungi DagangNews di sini, hari ini.
Siti Khadijah yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang berkata, dia bergiat aktif menyertai pertandingan sajak sejak berusia 13 tahun.
Tambahnya, selain aktif dalam sajak di peringkat universiti, Siti Khadijah pernah mewakili Malaysia dalam Karnival Puisi Negara 2022 melibatkan tiga buah negara, termasuk Brunei dan Indonesia.


Dalam pertandingan yang diadakan secara dalam talian itu, dia berjaya meraih tempat keempat.

LINK TIKTOK PEMENANG TEMPAT KETIGA: https://vt.tiktok.com/ZSNJRHQa2/
BACA JUGA: Nurul Liyana juara Peraduan Video Kreatif anjuran DagangNews
Pertandingan bertemakan Kemampanan, Keyakinan, Kesejahteraan, Hormat, Daya Cipta dan Ihsan ini terbuka kepada warga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dalam melahirkan individu yang memiliki idea dan daya kreatif sendiri.
Pemenang ditentukan di atas 70% penilaian berdasarkan kandungan dan jumlah SUKA (LIKE) serta TONTONAN (view) dan 30% juri hakim pihak penganjur. - DagangNews.com








