KUALA LUMPUR 14 April - Salah sebuah syarikat perlombongan terkemuka dunia, Vale mengagihkan bantuan makanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bernilai RM40,000 kepada pelbagai komuniti setempat di Manjung, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva berkata, inisiatif ini memberi manfaat kepada 200 keluarga yang memerlukan di daerah tersebut, dan merupakan kesinambungan kepada program bersepadu 'Vale Bersama Manjung'.
Katanya, program itu melibatkan komitmen syarikat untuk membelanjakan lebih RM2 juta membantu masyarakat tempatan sejak pandemik pada 2020.
"Bagi memastikan keberkesanan inisiatif bantuan perayaan kali ini, Vale bekerjasama dengan ketua komuniti setempat di Lekir, Beruas, Pengkalan Baharu dan Pangkor untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan di pelbagai lokasi di daerah Manjung.
"Kami berharap pengagihan pakej makanan ini akan membantu 200 keluarga penerima dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Ramadan adalah bulan penghayatan insaniah buat ramai warga kerja Vale di Malaysia, dan kami gembira kerana dapat menzahirkan komitmen untuk membantu golongan yang memerlukan di daerah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Leonardo, masyarakat di Manjung amat penting buat Vale, dan pihaknya komited untuk terus menjana pembangunan komuniti yang inklusif di situ melalui inisiatif sosial bersepadu dan penciptaan peluang kerjaya yang dinamik buat anak tempatan.

"Secara dasarnya, matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa operasi Vale di Manjung mampu manjana impak positif kepada segenap lapisan masyarakat di sini," katanya.
Terdahulu, mereka menerima barangan keperluan makanan serta bahan masakan perayaan untuk menyediakan jamuan tradisional seperti biskut, kek dan sebagainya untuk keluarga mereka.

Sejak bertapak di Malaysia lebih sedekad lalu, Vale melabur lebih RM65 juta dalam pelbagai inisiatif pembangunan sosial di daerah Manjung.
Sehingga hari ini, Vale kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di Perak, dengan tenaga kerja yang terdiri daripada lebih 90% penduduk Perak di hab pengedaran bijih besi syarikat serantau Asia Pasifik di Teluk Rubiah. - DagangNews.com








