Urus niaga ASNB ditangguh mulai 4 hingga 7 Jun, migrasi sistem baharu pelanggan | DagangNews Skip to main content

Urus niaga ASNB ditangguh mulai 4 hingga 7 Jun, migrasi sistem baharu pelanggan

Tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun 2022 kecuali bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 yang berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 25 Mei – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan memindahkan sistem operasinya ke sistem baharu, selaras dengan objektifnya untuk meningkatkan pengalaman pelaburan kepada para pelaburnya.

 

Bagi memudahkan pelaksanaan migrasi ini, semua urus niaga unit amanah dan perkhidmatan lainnya akan ditangguhkan sementara bermula pada 4 hingga 7 Jun 2022

 

Tarikh urus niaga terakhir bagi semua unit amanah adalah pada 3 Jun 2022 kecuali bagi ASN Equity 5, ASN Equity Global, ASN Imbang 3 Global dan ASN Sara 2 yang berakhir lebih awal iaitu pada 2 Jun 2022.

 

Penangguhan urus niaga ini melibatkan semua unit amanah ASNB di semua saluran ASNB iaitu kaunter cawangan ASNB dan ejen-ejen seluruh negara serta saluran elektronik dan dalam talian termasuk portal dan aplikasi myASNB, perbankan internet ejen-ejen iaitu Maybank2u, CIMB Clicks, RHBNow, Affinonline, AmOnline dan HLB Connect, mesin kiosk di cawangan ASNB serta Mesin Juruwang Automatik (Automated Teller Machine) di Maybank dan CIMB Bank.

 

Urus niaga di semua saluran iaitu kaunter dan platform dalam talian akan dibuka semula pada 8 Jun 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah strategik untuk migrasi ke sistem baharu perlu dilaksanakan bagi menyediakan sokongan teknologi yang lebih mudah dan moden agar ASNB dapat memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang lebih terkini. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan pengalaman pelaburan kepada pelabur-pelabur kami di semua saluran pada masa hadapan.

 

Beliau berkata, pelabur ASNB perlu merancang keperluan tunai lebih awal dan membuat transaksi pelaburan atau pengeluaran sebelum tarikh penangguhan untuk mengelakkan sebarang kesulitan ketika penangguhan ini berlangsung.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin
                                Mohammad Hussin

 

 

"Bagi mereka yang ingin membuat pengeluaran dalam talian, buatlah urus niaga seawal yang mungkin agar wang tersebut dapat dikreditkan sebelum tarikh penangguhan,” katanya di sini hari ini.

 

Pengeluaran secara dalam talian hanya boleh dilakukan menerusi portal www.myasnb.com.my dan aplikasi myASNB dengan had maksimum sebanyak RM2,000 atau pengeluaran 3 kali dalam sebulan.

 

Urus niaga pengeluaran dalam talian yang berjaya dilaksanakan akan dikreditkan ke dalam akaun bank pelabur yang didaftarkan dengan ASNB pada hari bekerja
berikutnya. - DagangNews.com