UPM lancar Buku Modul Pemahaman bagi tingkatkan kesedaran prinsip Rukun Negara kepada generasi muda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM lancar Buku Modul Pemahaman bagi tingkatkan kesedaran prinsip Rukun Negara kepada generasi muda

Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) ketika merasmikan pelancaran Buku Modul Pemahaman dan Amalan Rukun Negara sempena Majlis Bersama Pemimpin Negara dalam Program Minggu Perkasa Putra Sesi 2023/2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) melancarkan Buku Modul Pemahaman dan Amalan Rukun Negara, dalam usaha memberi kefahaman menyeluruh dan meningkatkan tahap kesedaran terhadap Rukun Negara.

 

Antara matlamat penerbitan buku tersebut menjelaskan objektif Rukun Negara sebagai teras pembinaan negara dan bangsa, memupuk cara hidup masyarakat pelbagai etnik dan memperkasa masyarakat harmoni berteraskan prinsip Rukun Negara.

 

Buku ini terbahagi kepada tujuh bab utama, termasuk Sejarah Penggubalan Rukun Negara, Kupasan Objektif Rukun Negara, serta kupasan setiap prinsip meliputi Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. 

 

Setiap bab tersebut ditulis pakar bidang berkaitan daripada UPM selain disunting lima penyunting berpengalaman.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menzahirkan penghargaan kepada UPM khususnya PKPP, para penyunting serta penulis yang terlibat secara langsung dalam penerbitan modul berkenaan.

 

"Penerbitan modul ini dilihat sangat bertepatan pada masanya apabila kita melihat sudah wujud keperluan signifikan untuk semua lapisan anggota masyarakat kembali bertaut kepada lima prinsip Rukun Negara yang diisytihar sebagai ideologi kebangsaan serta menjadi rukun dan panduan hidup masyarakat majmuk di negara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Bersama Pemimpin Negara dalam Program Minggu Perkasa Putra Sesi 2023/2024.

 

 

upm

 

 

Sementara itu, Pengarah PKPP UPM, Prof Madya Dr Omrah Hassan @Hussin yang turut bertindak sebagai ketua editor buku berharap penerbitan modul berkenaan menyedarkan semua lapisan masyarakat tentang kepentingan memahami dan mengamalkan Rukun Negara sebagai satu cara hidup yang menyumbang keharmonian kaum, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

 

"Modul ini diterbitkan untuk menambah kefahaman dan menggalakkan amalan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar UPM dan sekolah selain menyasarkan rakyat Malaysia secara amnya," katanya.

 

Menariknya buku ini, setiap modul mengandungi aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesedaran, pemahaman dan amalan lima prinsip Rukun Negara. 

 

Selain itu buku ini turut menyediakan panduan tentang sikap dan tingkah laku yang wajar dan tidak wajar diamalkan oleh setiap warganegara berpaksikan lima prinsip tersebut.

 

Justeru modul yang terkandung dalam buku ini wajar digunapakai oleh semua peringkat baik di sekolah, institut pengajian tinggi mahupun agensi kerajaan dan korporat sebagai inisiatif memupuk kesedaran rakyat berbilang kaum tentang kepentingan menjaga serta memelihara keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini. - DagangNews.com