KUALA LUMPUR 5 Dis - Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1 dan SMK Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai, Kelantan melaksanakan program 'Pemantapan Komunikasi Bahasa Perancis Melalui Aktiviti Bicara Berirama' secara maya atau hibrid.
Ketua program, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, program yang bermula sejak 2 Januari hingga 31 Disember 2023 itu bertujuan mengukuhkan kemahiran lisan pelajar menggunakan medium bahasa Perancis.
Beliau berkata, selain daripada penghayatan pantomim, para peserta juga diminta untuk menyediakan dialog yang dibaca pengisah.
"Pantomim yang dilakonkan ialah dari cerita rakyat dan lagenda Malaysia seperti Si Tanggang, Bawang Puteh Bawang Merah, Mahsuri dan Raja Bersiong, yang diterjemahkan dialognya ke bahasa Perancis," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Hazlina berkata, program tersebut menerima tajaan dari pihak Kedutaan Perancis di Malaysia.
Katanya, ia diharapkan memberi impak seperti menambah nilai pengetahuan kepada pelajar sekolah tentang kemahiran berkomunikasi dan mengekspresi diri dalam bahasa Perancis secara libur dan menyeronokkan di samping mendedahkan peserta kepada budaya Perancis.
Di samping itu katanya, program ini juga dapat turut dilihat memberi kesan positif kepada pelajar dari segi kemahiran berkomunikasi dan kerja berkumpulan," katanya.

"Selain itu, kemahiran insaniah juga turut diterapkan melalui pendedahan kepada aktiviti kebudayaan Perancis seperti persembahan nyanyian dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
"Malah, program ini membuka ruang minda kepada pelajar peserta untuk mencintai dan memperluaskan budaya setempat melalui penceritaan dalam pementasan pantomim," katanya.

Tambahnya, program itu juga dilihat sebagai program serampang dua mata yang mengukuhkan hasil pembelajaran untuk pelajar SMK Sultan Yahya Petra 1 dan SMK Sultan Yahya Petra 2 yang mengambil mata pelajaran bahasa Perancis tahap CEFR A1 dan A2.
"Di samping itu, para pelajar dapat meningkatkan lagi kualiti kemahiran berorganisasi dengan lebih efektif," katanya. - DagangNews.com








