KUALA LUMPUR 3 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jawatankuasa Misi Bantuan Pasca Banjir 2022/2023 berjaya melaksanakan Misi Menyantuni Mangsa Pantai Timur di daerah Tumpat, Kelantan dan Jerteh, Terengganu pada 30 hingga 31 Disember 2022.
Misi di bawah kelolaan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) disertai seramai 45 sukarelawan dari kalangan staf dan pelajar di Tumpat serta 47 sukarelawan di Jerteh.
Di Tumpat, sukarelawan UPM membantu operasi pembersihan rumah mangsa banjir di beberapa buah kampung seperti Kampung Telok Jering, Kampung Kajang Sebidang serta Kampung Sedar selain turut mengagihkan bantuan pek makanan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.
Manakala di Jerteh, sukarelawan UPM melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong yang terjejas teruk dengan kejadian banjir luar jangka apabila air naik lebih dari dua meter.
Operasi yang turut disertai oleh sukarelawan dari beberapa buah universiti tempatan lain membersihkan kelas serta peralatan kerusi, meja selain menyusun tilam di asrama bagi membolehkan sekolah memulakan operasi dengan lancar pada 1 Januari 2023.
Selain itu, Bantuan pek makanan juga turut diedarkan kepada keluarga pelajar UPM dan komuniti setempat.
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan cakna dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir sekaligus bersedia untuk turun padang membantu meringankan beban mereka.



“Misi seumpama ini adalah bukti bahawa warga universiti sentiasa mengambil peduli masalah yang menimpa anggota masyarakat dan bersedia untuk menghulurkan pelbagai bantuan sebagai tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat sekali gus bertepatan dengan motto UPM iaitu ‘Berilmu, Berbakti’," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, misi ini adalah susulan kepada misi yang telah dilaksanakan di Bachok, Kelantan sebelum ini dan UPM bersedia untuk meneruskan misi murni seperti ini pada masa-masa akan datang mengikut keperluan.


Misi di Kelantan dan Terengganu turut melibatkan penyertaan sukarelawan pelajar dari kalangan Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Kor Palapes) serta ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM. - DagangNews.com








