UOB, Petronas jalin kerjasama strategik perkasa rantaian bekalan ekosistem peniaga dan pengedar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB, Petronas jalin kerjasama strategik perkasa rantaian bekalan ekosistem peniaga dan pengedar

Anita Tang (duduk, kiri) bersama Norazlan Subaha (tengah) dan Mohd Zameer Zahur Hussain (kanan) ketika majlis menandatangani MoU antara UOB, Petronas Dagangan dan Petronas Lubricants Marketing. Turut kelihatan, Andy Cheah (berdiri, kiri) dan Khalil Jaffri Muhammad Muri.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - UOB Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Petronas Dagangan Berhad bersama anak syarikatnya, Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd bagi memperkasakan rantaian bekalan ekosistem untuk peniaga dan pengedar melalui Program Pembiayaan Peniaga dan Pengedar UOB.

 

Kerjasama itu juga bertujuan menyediakan pembiayaan hujung ke hujung kepada lebih 1,000 peruncit tempatan.

 

Program ini diperkenalkan supaya peniaga dan pengedar dalam ekosistem mendapat akses kepada lebih banyak peluang pembiayaan. 

 

Ia menawarkan pembiayaan modal kerja dan perbelanjaan modal, serta jaminan bank dan rumusan pengurusan tunai untuk mengembangkan operasi pengedar dan kedai runcit mereka di seluruh negara.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong UOB Malaysia, Andy Cheah berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang pihaknya kepada Petronas, pihaknya berbesar hati membantu anak syarikatnya dalam mengukuhkan kemantapan pengurusan rantaian bekalan mereka. 

 

"Melalui rumusan inovatif dan komprehensif UOB, kami berupaya menyokong keperluan kewangan keseluruhan rantaian nilai Petronas. Kami tetap membuka peluang baharu selain menghubungkan syarikat-syarikat untuk berkembang di dalam dan di seluruh rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Turut hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu, Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan, Khalil Jaffri Muhammad Muri; Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Korporat UOB Malaysia, Anita Tang; Ketua Bahagian Perniagaan Runcit-Bahan Api Petronas Dagangan, Norazlan Subaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing, Mohd Zameer Zahur Hussain.

 

Sementara itu, Khalil Jaffri berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan UOB Malaysia, justeru memanfaatkan kepakaran kewangan mereka dalam menyediakan kestabilan dan keselamatan kewangan kepada rangkaian peniaga dan pengedar mereka. 

 

"Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan perniagaan rakan kongsi, malah ia juga akan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan, memastikan akses yang lebih mudah dan lebih baik kepada rangkaian tawaran kami," katanya.

 

Di samping itu, peniaga dan pengedar Petronas di bawah program ini akan meraih manfaat daripada pengurusan rantaian bekalan kewangan (FSCM) serta rangkaian penyelesaian berasaskan ekosistem UOB Malaysia. 

 

Melalui keupayaan pengurusan tunai UOB Malaysia dan platform perbankan digitalnya - UOB Infinity, peniaga dan pengedar Petronas juga akan dilengkapi dengan keterlihatan dan automasi hujung ke hujung bagi keseluruhan rantaian bekalan kewangan mereka. - DagangNews.com