KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) tahun kewangan 2024 (FY24) Sime Darby Motors susut 45% berbanding tahun lalu kepada RM584 juta yang sebahagian besarnya disebabkan oleh beberapa pelunasan dan peruntukan luar jangkauntuk operasi China.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, prestasi di Malaysia adalah kukuh dengan PBIT RM613 juta iaitu bertambah 35% berbanding tahun kewangan 2023.
"Walau bagaimanapun, kerugian dari China (PBIT: -RM123 juta berbanding +MYR124 juta tahun lepas) akibat persaingan sengit sebahagiannya telah mengimbangi pencapaian ini.
"Begitu juga, PBIT Australia menyusut sebanyak 17% berbanding tahun lalu akibat margin yang lebih rendah, manakala PBIT Singapura hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas disebabkan oleh peningkatan jualan EV.
"Kumpulan menjual 142,901 unit (+22% berbanding tahun lepas) pada FY24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, Maybank IB menyemak turun harga sasaran Sime Darby Berhad kepada RM3.09 sesaham, berkurang 10% daripada RM3.44 sebelum ini dengan taraf saranan kekal kepada 'Beli'.
ARTIKEL BERKAITAN: Sime Darby raih untung bersih RM3.31 bilion pada FY24, meningkat 126%

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih teras FY24 Sime Darby sebanyak RM1.289 bilion tidak memenuhi jangkaan, iaitu 92% daripada ramalan disebabkan oleh sumbangan UMW yang lebih rendah daripada jangkaan, kadar cukai yang lebih tinggi dan kos kewangan.
"Kami mengurangkan ramalan FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 24% dan 25% untuk mencerminkan perkara ini dan memperkenalkan ramalan FY27.
"Harga sasaran SOP baharu kami adalah RM3.09, turun 10% daripada RM3.44. Walaupun terdapat kekurangan, keuntungan bersih teras FY24 Sime Darby meningkat sebanyak 11% berbanding tahun lalu.
"Ini didorong oleh keuntungan yang lebih tinggi daripada semua operasi Malaysia (termasuk sumbangan pertama UMW) dan Industri Australia yang sebahagiannya diimbangi oleh prestasi yang lebih lemah dari operasi China. Kekalkan 'Beli'," jelasnya.
Melihat ke hadapan, Maybank IB menjangkakan Sime Darby Industrial akan terus mendapat manfaat daripada permintaan tenaga dan pusat data.
Kata firma penyelidikan itu, Sime Darby Motor pula akan memperoleh keuntungan yang lebih tinggi daripada pemasangan di Malaysia walaupun prospek di China agak suram.
"Sumbangan penuh daripada pengambilalihan terkini (UMW, Cavpower, Onsite Rental) dijangka meningkatkan pendapatan kumpulan, dengan pertumbuhan UMW didorong oleh segmen automotif dan M&E, walaupun sumbangan peralatan yang lebih rendah disebabkan oleh penyelarasan operasi dan aktiviti penjualan aset," jelasnya. - DagangNews.com








