Untung sebelum cukai DRB-HICOM bagi FY23 naik 9.0% kepada RM446.9 juta | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai DRB-HICOM bagi FY23 naik 9.0% kepada RM446.9 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM446.9 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), iaitu peningkatan sebanyak 9.0% daripada RM410 juta tahun sebelumnya.

 

Jumlah hasil DRB-HICOM bagi keseluruhan tahun FY23 juga meningkat 2.2% kepada RM15.9 bilion berbanding RM15.5 bilion pada FY22.

 

Bagi suku semasa berakhir 31 Disember 2023, Kumpulan mencatatkan PBT sebanyak RM45.7 juta, dengan hasil sebanyak RM3.8 bilion, katanya dakan pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, prestasi kukuh dalam sektor automotif menyumbang kepada peningkatan untung sebelum cukai DRB-Hicom.

 

Menurut kenyataan media DRB-HICOM, sektor automotif menyaksikan pertumbuhan hasil sebanyak 2.3%, meningkat kepada RM11.3 bilion daripada RM11.1 bilion pada FY22. 

 

"Prestasi bertambah baik ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan volum jualan kenderaan, prestasi selepas jualan yang kukuh dan inisiatif pengurangan kos operasi yang berkesan.

 

"Pengeluar kereta nasional PROTON, mencapai rekod tertinggi baharu dalam jualan kenderaan semenjak 2011 dengan 154,611 unit terjual pada 2023 (FY22: 141,432 unit). 

 

"Honda mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional yang dipegangnya sejak 2014, mencapai sasaran jualan 2023 iaitu lebih 80,000 unit," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: DRB-Hicom, Geely meterai perjanjian usaha sama pacu pembangunan AHTV

 

Menurut Kumpulan itu,  sektor Perbankan mencapai peningkatan hasil sebanyak 35.3% kepada RM1.7 bilion bagi FY23 (FY22: RM1.3 bilion).

 

Kata DRB-HICOM, ini terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan lebih tinggi yang didorong oleh peningkatan dalam volum pembiayaan berikutan pengembangan yang mampan dan pangkalan pelanggan yang semakin meluas.

 

"Sektor Perkhidmatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 13.4% kepada RM833.6 juta daripada RM734.8 juta pada FY22 yang disumbangkan terutamanya oleh perniagaan sajian makanan dalam penerbangan.

 

"Jumlah penyedian makanan dan perniagaan pengendalian darat yang lebih tinggi sejajar dengan peningkatan bilangan penerbangan, serta peningkatan pendapatan daripada perniagaan Ar-Rahnu," katanya.

 

Sementara itu, mengenai prospek Kumpulan bagi FY24, DRB-HICOM berkata, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada 2024, terutamanya didorong oleh pemulihan perdagangan luar dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan. 

 

Katanya, pendirian dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan domestik yang mampan manakala di peringkat global, prospek pertumbuhan keseluruhan berkemungkinan terjejas akibat peningkatan risiko turun naik dalam pasaran kewangan, turun naik harga komoditi dan ketegangan geopolitik semasa.

 

"Di peringkat tempatan, Jumlah Volum Industri (TIV) Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang pada 2023 dengan sejumlah 799,731 kenderaan baharu didaftarkan (2022: 721,177 unit).

 

"Selaras dengan TIV yang bertambah baik ini, sektor Automotif Kumpulan meneruskan trajektori menaiknya. Barisan Proton X-series, yang terdiri daripada Proton X50, Proton X70, dan Proton X90 kekal sebagai pilihan popular pelanggan dengan lebih 200,000 unit terjual sejak Disember 2018," ujarnya.

 

Prestasi yang mampan ini menggambarkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama PROTON yang menawarkan kenderaan mampu milik dengan penekanan yang semakin meningkat terhadap reka bentuk yang bergaya dan gabungan teknologi canggih, kata DRB-HICOM.

 

"Oleh itu, Kumpulan menyasarkan untuk meluaskan lagi pasaran keseluruhan produk yang ditawarkan menerusi teknologi yang dinaik taraf, sambil terus memainkan peranan aktif dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

 

"Perniagaan Kumpulan dalam sektor Perbankan terus beroperasi dengan cekap sambil mengekalkan profil risiko yang berhemat. Perniagaan dalam sektor Aeroangkasa dan Pertahanan, Pos, Perkhidmatan dan Hartanah kekal berwaspada, mengukuhkan kecekapan operasi dan mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat, dan pada masa yang sama meneruskan agenda kemampanan Kumpulan.

 

"Kumpulan menjangkakan prestasi positif bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024," kata DRB-HICOM.- DagangNews.com