Untung MFM diunjur turun 5%, jualan ayam terjejas akibat boikot restoran makanan segera - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Untung MFM diunjur turun 5%, jualan ayam terjejas akibat boikot restoran makanan segera - AmInvestment

Selain tepung, MFM turut terlibat dengan perniagaan ayam menerusi usaha sama./Gambar laman web MFM
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Mac - Boikot restoran makanan segera tertentu susulan konflik Israel-Palestin menyebabkan permintaan produk ayam Malayan Floor Mills (MFM) dijangka terus merosot teruk dalam tahun kewangan 2024 (F24).

 

MFM menerusi projek usaha sama adalah antara pembekal ayam kepada beberapa restoran makanan segera.    

 

Menurut AmInvestment Bank, bagi mengatasi masalah ini, MFM bersama rakan usaha sama perniagaan ayam akan menjual lebih banyak ayam hidup.

 

Selain itu, kata firma penyelidikan tersebut, MFM juga akan memberi tumpuan kepada restoran dan restoran makanan segera yang lain.

 

"Pendapatan daripada segmen ayam MFM dijangka rendah pada FY24 namun ini akan diimbangi oleh pemulihan dalam keuntungan perniagaan tepung," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, kata AmInvestment, sunggguh pun begitu, unjuran keuntungan bersih FY24 MFM dikurangkan sebanyak 5% selepas mengambil kira sumbangan yang lebih lemah daripada penglibatan dalam perniagaan usaha sama ayam.

 

"Kami meramalkan bahagian pendapatan MFM dalam unit itu akan mengalami kerugian RM12 juta pada FY24 berbanding untung RM25.9 juta pada FY23.

 

"Ini disebabkan kejatuhan permintaan ayam daripada restoran makanan segera," jelasnya.

 

Keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengekalkan sarana BELI di Malayan Flour Mills  dengan nilai saksama tidak berubah sebanyak 80 sen sesaham.

 

"Kami percaya bahawa bahagian tepung M Flour akan mencatatkan prestasi baik pada FY24 dengan jualan yang lebih tinggi dan penurunan kos gandum," ujarnya. - DagangNews.com