Untung bersih Yinson melonjak kepada RM964 juta pada FY24 didorong peningkatan hasil | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Yinson melonjak kepada RM964 juta pada FY24 didorong peningkatan hasil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 (FY24) melonjak kepada RM964 juta berbanding RM589 juta berbanding tahun lalu didorong lonjakan hasil sebanyak RM11.65 bilion berbanding RM6.32 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, untung bersih bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2024 (4QFY24) meningkat kepada RM278 juta berbanding RM171 juta disebabkan kesan kenaikan kadar sewa harian.

 

Bagaimanapun, ia diimbangi sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) dan peningkatan kos kewangan.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM2.7 bilion berbanding RM1.96 bilion setahun lalu.

 

Yinson mengumumkan pemberian dividen satu sen bagi suku tersebut, menjadikan dividen setahun penuh kepada dua sen.

 

Kumpulan itu berkata, permintaan global terhadap tenaga bersih, mampu milik dan stabil terus berkembang membantu memacu pengembangan semua unit perniagaannya.

 

Katanya, pasaran kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) terus mencatatkan permintaan kukuh bagi kontraktor seperti Yinson, yang mempunyai kelebihan dalam penggunaan teknologi serta rekod prestasi cemerlang bagi penghantaran serta prestasi keselamatan.

 

"Permintaan terhadap perkhidmatan FPSO adalah positif dengan peningkatan projek di seluruh dunia, terutamanya dari Brazi diikuti Afrika Barat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini

 

Mengulas mengenai prospeknya, Yinson berkata, mereka kekal optimis terhadap masa depan perniagaannya, didorong oleh permintaan kukuh dalam segmen tenaga.

 

Bagaimanapun, pihaknya menyedari terdapat pelbagai ketidakpastian yang wujud dalam pasaran semasa dan atas dasar itu kumpulan komited meletakkan kemampanan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)  sebagai keutamaan.

 

"Disokong oleh portfolio kontrak jangka panjang sedia ada, kami percaya kumpulan itu boleh mencapai keputusan yang memuaskan bagi FY25," katanya. - DagangNews.com