Untung bersih Vitrox merosot 34.6% kepada RM33.35 juta pada 3QFY23 berikutan permintaan segmen MVS, ABI lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Vitrox merosot 34.6% kepada RM33.35 juta pada 3QFY23 berikutan permintaan segmen MVS, ABI lemah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - Vitrox Corp Bhd telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM33.35 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), merosot 34.6% daripada RM50.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan turut menyusut 19% pada suku berakhir 30 September 2023 itu kepada RM149.97 juta berbanding RM185.6 juta tahun lalu.

 

Manakala pendapatan sesaham (EPS) turun kepada 3.52 sen pada suku dalam tinjauan daripada 5.38 sen sebelumnya.

 

“Penurunan hasil ini terutamanya disebabkan oleh kelembapan sementara dalam permintaan daripada [segmen] sistem penglihatan mesin (MVS) dan pemeriksaan papan automatik (ABI), yang dipengaruhi cabaran ekonomi global yang berlanjutan dan pemulihan industri semikonduktor lebih perlahan daripada jangkaan,” katanya dalam keputusan kewangan 3QFY23 di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih Vitrox jatuh 31.7% kepada RM103.9 juta berbanding RM152 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam 9MFY23 turut berkurang 22.8% kepada RM432.7 juta daripada RM560 juta sebelumnya.

 

Mengulas tentang prospek, Vitrox berkata kumpulan itu menjangkakan industri semikonduktor global mungkin terus menghadapi cabaran sehingga akhir tahun ini.

 

Namun begitu, katanya, mereka komited dengan teguh pada strategi jangka panjangnya untuk mengukuhkan operasi, pengenalan produk baharu dan pengembangan pasaran.

 

“Kumpulan juga meramalkan pemulihan yang teguh dan beransur-ansur pada tahun kewangan 2024 FY24.

 

“Kumpulan mengekalkan pandangan optimis terhadap pertumbuhan permintaan yang mampan daripada sektor kecerdasan buatan (AI), telekomunikasi dan automotif dalam masa terdekat,” katanya.  - DagangNews.com