Untung bersih United Malacca susut kepada RM35.4 juta pada 9MFY24 akibat harga minyak sawit mentah lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih United Malacca susut kepada RM35.4 juta pada 9MFY24 akibat harga minyak sawit mentah lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Mac - Untung bersih United Malacca Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2024 (9MFY24) menyusut kepada RM35.36 juta berbanding RM52.72 juta bagi tempoh sama berbanding tahun sebelumnya akibat minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah.

 

Katanya, hasil kumpulan itu juga susut kepada RM424.15 juta daripada RM469.19 juta pada 9MFY23.

 

Kumpulan itu berkata, bagi tempoh 9MFY24 itu, operasi Malaysia mencatatkan keuntungan perladangan sebanyak RM53.3 juta iaitu 40% lebih rendah daripada RM88.4 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

 

"Tidak termasuk susut nilai, perubahan nilai saksama pada aset biologi (bersih) dan perbelanjaan faedah, operasi Malaysia mencatatkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) sebanyak RM86.3 juta iaitu 31% lebih rendah daripada RM125.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

"EBITDA yang lebih rendah dalam tempoh sembilan bulan semasa disebabkan oleh purata harga MSM yang lebih rendah sebanyak RM3,747/tan (tahun sebelumnya: RM4,499/tan) dan harga isirung kelapa sawit sebanyak RM1,988/tan serta penyusutan pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 7% atau 19,522 tan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sementara itu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM18.96 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2024 (3QFY24) berbanding RM12.72 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun menyusut kepada RM143.69 juta bagi suku berkenaan daripada RM161.63 juta pada 3QFY23.

 

Katanya, bagi suku semasa berakhir 31 Januari 2024, operasi Malaysia mencatatkan keuntungan perladangan sebanyak RM23 juta iaitu 3% lebih tinggi daripada RM22.4 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

"Bagi suku semasa, operasi Indonesia (Kalimantan) mencatatkan keuntungan perladangan sebanyak RM3.5 juta berbanding kerugian perladangan sebanyak RM1.7 juta pada suku yang sama pada tahun lalu," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu menjangkakan pengeluaran BTS meningkat pada tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24) berikutan profil umur yang lebih baik dan jangkaan peningkatan dalam operasi Indonesia selepas mengimbangi pengeluaran yang lebih rendah di ladang Semenanjung Malaysia.

 

"Fokus pengurusan kekal terarah kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja, inisiatif mekanisasi dan kecekapan kos serta meningkatkan hasil MSM.

 

"Dengan mengandaikan harga MSM kekal pada paras semasa, kumpulan menjangkakan keputusan yang memuaskan untuk FY24," katanya. - DagangNews.com