KUALA LUMPUR 21 Ogos - Keuntungan bersih UEM Sunrise Berhad sebanyak RM38 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) dalam jangkaan AmInvestment Bank Research dengan merangkumi 39% daripada anggaran tahun penuhnya dan 47% daripada unjuran konsensus.
“Kami menganggap pendapatan 1HFY23 dalam jangkaan memandangkan penjualan tanahnya dijangka selesai pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) dengan nilai gabungan RM161 juta dan anggaran keuntungan RM40 hingga 50 juta,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sebagai imbasan, kumpulan itu telah memeterai perjanjian jual beli dengan vendor pada Disember 2022 untuk melupuskan tanah miliknya di Gerbang Nusajaya, Batang Padang dan Bidor.
Oleh itu, tiada sebarang perubahan pada unjuran pendapatan firma itu, di samping mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) 60 sesaham.
Menurut AmInvestment, UEM Sunrise memperoleh jualan baharu berjumlah RM1.49 bilion pada 1HFY23, mencapai 99% daripada sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM1.5 bilion.
Selain itu, pelancaran projek kumpulan itu dalam tempoh tersebut mencatat nilai RM2.7 bilion, melonjak 35% YoY yang melebihi sasaran FY23 sebanyak RM2.5 bilion, dengan pelancaran utama The MINH, The Connaught One dan Collingwood.
Firma itu berkata jualan dan pelancaran yang lebih kukuh daripada jangkaan itu disumbangkan oleh pengiktirafan jualan en blok projek bina-untuk-jual Collingwood, Australia bernilai RM874 juta, di mana sumbangan sulung daripada projek tersebut dijangka bermula pada FY25.
“Tidak termasuk projek Collingwood, kami menjangkakan sasaran jualan dan pelancaran disasarkan UEM Sunrise bagi FY23 untuk kekal pada tahap yang sama.
“Pelancaran baharu merangkumi 83% daripada jualan, manakala baki jualan datang daripada inventori yang telah siap (9%) dan projek berterusan (8%),” katanya.
Firma itu menjangkakan sebahagian besar pendapatan dan keuntungan bersih kumpulan pada FY23 disokong oleh jualan tidak dibilkan sebanyak RM2.7 bilion, yang mewakili nisbah sebanyak 1.7 kali daripada pendapatan FY23.
Pada rehat tengahari, saham UEM Sunrise menokok 1.5 sen atau 2.4% kepada 63.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.2 bilion. - DagangNews.com








