KUALA LUMPUR 28 Ogos – T7 Global Bhd memperoleh peningkatan untung bersih sebanyak 65.3% kepada RM10.62 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) berbanding RM6.42 juta setahun sebelumnya.
Pendapatan penyedia penyelesaian tenaga itu turut meningkat pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 kepada RM150 juta berbanding RM104 juta pada 2QFY23.
"Pendapatan setiap saham T7 Global bagi suku tahun dalam tinjauan pula sebanyak 1.40 sen berbanding 0.82 sen pada 2QFY23," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataannya, T7 Global berkata, untuk tempoh enam bulan pertama, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15.2 juta, meningkat 42.9% daripada RM10.7 juta pada tahun lalu.
Pendapatan pula berkembang 42.6% kepada RM282.6 juta berbanding RM198.1 juta tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: T7 Global peroleh kontrak RM74.6 juta daripada Mindef, bekal sistem pengurusan trafik udara kepada TUDM
T7 Global Bhd yakin segmen tenaga dan penyelesaian industri mereka akan terus memacu prestasi kumpulan, disokong oleh pelbagai projek yang sedang dalam perancangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Kay Zhuin, menyatakan bahawa kumpulan juga secara aktif mencari peluang baik dalam perniagaan yang berkaitan dan memperkukuhkan kedudukannya dalam industri.
“Kami optimis tentang prospek segmen tenaga kami, dengan dua unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (MOPU) menyumbang kepada kumpulan.
“Dalam segmen penyelesaian industri, kami terus fokus pada projek sistem pengendalian bagasi lapangan terbang kami dan kemenangan terbaru kami dalam kontrak sistem radar pengawasan lapangan terbang daripada Kementerian Pertahanan.
"Projek-projek ini akan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia penyelesaian bersepadu yang terkemuka,” katanya. - DagangNews.com








