Untung bersih Public Bank 1QFY24 susut 3.5% kepada RM1.65 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Public Bank 1QFY24 susut 3.5% kepada RM1.65 bilion

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - Public Bank Bhd (PBB) mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.65 bilion pada suku pertama 2024, penurunan 3.5% berbanding suku sama setahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi 1QFY24 bagaimanapun meningkat hampir 10% kepada RM6.8 bilion berbanding RM6.1 bilion setahun sebelumnya. 

 

Keuntungan setiap saham adalah sebanyak 8.52 sen berbanding dengan 8.83 sen pada suku yang sama tahun lalu.

 

Penurunan berbanding 1Q23 yang menyaksikan Public Bank meraih untung bersih RM1.7 bilion adalah disebabkan kesan positif kenaikan kadar dasar semalam (OPR) yang tidak berulang dalam tempoh yang sama sebelumnya.

 

Bank tersebut mengekalkan pertumbuhan pinjaman yang memuaskan pada kadar tahunan sebanyak 6.3%. 

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Public Bank berkata, pinjaman domestiknya berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.9% kepada RM378.2 bilion, melampaui kadar pertumbuhan pinjaman tahunan industri perbankan Malaysia sebanyak 5.3%.

 

Pembiayaan kediaman domestik, pembiayaan sewa-beli dan pembiayaan harta komersial domestik berkembang pada kadar tahunan masing-masing sebanyak 5.6%, 17.3%, dan 4.0%.

 

Sentara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, bank akan terus berwaspada dalam pendekatan perniagaannya dan mengekalkan profil risiko yang berhemah untuk menghadapi risiko yang sedang berterusan.

 

“Mengambil kira pandangan ekonomi yang lebih baik, kumpulan akan terus mengambil pendekatan proaktif untuk merangkul peluang pertumbuhan.

 

"Kumpulan juga akan terus mengejar transformasi digital dan meningkatkan usaha ESG untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang dinamik pada hari ini,” katanya  dalam kenyataan media.

 

campu
Cambodian Public Bank Plc adalah penyumbang utama kepada keuntungan sebelum cukai luar negara Kumpulan Public Bank

 

Pada suku tersebut, jumlah pinjaman domestik yang baru diluluskan meningkat sebanyak 10.2% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pinjaman yang diluluskan untuk pembelian sewa-beli dan PKS masing-masing meningkat sebanyak 27.2% dan 11.8%, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pinjaman untuk tahun 2024.

 

Pada suku pertama 2024, jumlah deposit pelanggan keseluruhan dan jumlah deposit pelanggan domestik meningkat pada kadar tahunan sebanyak 7.1% dan 7.3% masing-masing kepada RM420.2 bilion dan RM391.9 bilion.

 

Pada hujung Mac 2024, Public Bank mengekalkan kecairan stabil dengan nisbah pinjaman kasar terhadap dana dan ekuiti sebanyak 82.0%.

 

Pada suku pertama tahun 2024, operasi luar negara Kumpulan Public Bank menyumbang 6.3% kepada keuntungan sebelum cukai Kumpulan tersebut, terutamanya dari operasi di Indochina.

 

Cambodian Public Bank Plc adalah penyumbang utama kepada keuntungan sebelum cukai luar negara Kumpulan Public Bank, dengan peningkatan sebanyak 5.7% dalam keuntungan sebelum cukai pada suku tersebut.

 

Indochina akan terus menjadi bidang tumpuan utama Kumpulan dalam perluasan perniagaan luar negaranya.- DagangNews.com