KUALA LUMPUR 29 Mei - Petronas Chemicals Group Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM668 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), meningkat berbanding RM532 juta setahun sebelumnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembuatan pelbagai jenis petrokimia itu merekodkan pendapatan lebih rendah dalam suku tinjauan dengan sebanyak RM7.49 bilion berbanding RM7.55 bilion pada 1QFY23.
Sementara itu, Petronas Chemicals dalam kenyataan media berkata, sektor kimia menyaksikan purata harga produk terpilih meningkat pada 1QFY24 berbanding 4QFY23 disebabkan oleh pemulihan permintaan bermusim di tengah-tengah kitaran menurun industri semasa.
Kumpulan mengaitkan peningkatan dalam keuntungan kepada kos operasi yang lebih rendah, taburan etilena dan aromatik yang lebih tinggi serta prestasi yang lebih baik daripada segmen kepakarannya.
"Hasil meningkat 4% kepada RM7.5 bilion (4QFY23: RM7.2 bilion) disokong oleh dolar AS yang lebih kukuh berbanding ringgit dan volum yang lebih tinggi daripada Kompleks Bersepadu Pengerang.
"Pendapatan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) melonjak 77% kepada RM1.2 bilion (4QFY23: RM655 juta) disebabkan kos bahan api, tenaga, utiliti dan penyelenggaraan yang lebih rendah, sebaran produk yang lebih tinggi, sumbangan yang lebih tinggi daripada Kumpulan Perstorp serta impak pertukaran asing yang positif. Margin EBITDA pada suku tersebut berkembang kepada 16% (4QFY23: 9%).
"Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat lebih daripada empat kali ganda kepada RM703 juta (4QFY23: RM142 juta) sejajar dengan EBITDA yang lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing yang belum direalisasi," katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas Chemicals bayar dividen RM1 bilion, berjaya catat perolehan RM28.7 bilion pada 2023
Menurut Petronas Chemicals, kadar penggunaan loji dicatatkan pada 87% (4QFY23: 84%) pada suku tersebut yang menyumbang kepada peningkatan kecil dalam volum pengeluaran.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Mazuin Ismail berkata, pihaknya menjangkakan pergerakan harga produk akan bercampur-campur menjelang suku kedua dengan beberapa produk olefins dan derivatif (O&D) seperti etilena dan aromatik menunjukkan peningkatan pada pengehadan bekalan manakala yang lain secara relatifnya tidak berubah.
Katanya, permintaan urea telah menjadi sederhana disebabkan oleh kelewatan musim penanaman serantau yang disebabkan oleh cuaca panas, manakala metanol kekal lemah berikutan permintaan hiliran yang lemah.
Ujar beliau pihaknya menjangkakan prospek yang berbeza untuk segmen khas kerana sektor pembinaan terus berhadapan dengan pertumbuhan infrastruktur yang lemah dan kadar faedah yang tinggi manakala produk yang disasarkan kepada sektor automotif mungkin menyaksikan permintaan bertambah baik.
"Kami tetap berhati-hati dengan ketegangan geopolitik yang berterusan yang menyumbang kepada turun naik harga tenaga dan bahan mentah serta persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.
"Di samping itu, kami mengambil berat tentang potensi kesan kapasiti baharu yang memasuki pasaran, menyumbang kepada situasi lebihan bekalan yang berkemungkinan akan terus mengekalkan tekanan pada harga dan margin produk," jelasnya.- DagangNews.com








