Untung bersih MRCB susut 82.7% kepada RM13.02 juta pada suku keempat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MRCB susut 82.7% kepada RM13.02 juta pada suku keempat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Feb - Untung bersih dan pendapatan Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) masing-masing meningkat 121% dan 309% kepada RM3.21 bilion dan RM64.85 juta daripada RM1.45 bilion dan RM15.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan mencatat pemulihan yang kukuh dalam hasil terutamanya disebabkan operasi yang lebih normal selepas dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia menyaksikan peningkatan pengiktirafan hasil daripada kemajuan pembinaan yang lebih tinggi di kedua-dua segmen kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar serta segmen pembangunan dan pelaburan hartanah, serta keseluruhan jualan hartanah.

 

Hasil yang lebih tinggi itu juga mencerminkan penyatuan setahun penuh syarikat bagi projek LRT3 Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULSB).

 

Keuntungan operasi yang lebih tinggi juga diperoleh daripada segmen pembangunan hartanah dan pelaburan pada 2022 hasil daripada kemajuan pembinaan dan jualan yang lebih baik daripada inventori tidak terjual yang telah siap dan jualan daripada projek pembangunan hartanah yang sedang dalam pembinaan.

 

Selain itu, syarikat milik 27.94% dalam Sentral REIT dan syarikat bersekutu, Sentral REIT Management Sdn Bhd, menyumbang keuntungan gabungan selepas cukai sebanyak RM14.9 juta kepada kumpulan berbanding RM17.8 juta dalam tempoh kewangan yang sama berakhir 31 Disember 2021.

 

Bagaimanapun, untung bersih MRCB bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 susut 82.7% kepada RM13.02 juta daripada RM75.21 juta dengan pendapatan juga susut kepada RM833.94 juta daripada RM858.12 juta. 

 

Setakat 31 Disember 2022, segmen pembangunan hartanah dan pelaburan kumpulan mengekalkan trajektori jualannya yang lebih tinggi dan menjual hartanah bernilai RM487.9 juta daripada pembangunannya yang siap dan masih berjalan.

 

Mengenai prospek kumpulan, MRCB berkata, tumpuannya kini adalah meningkatkan aliran tunai dengan menjana kewangan daripada inventori siap yang tidak terjual, berjumlah RM227 juta pada 31 Disember 2022. 

 

"Kumpulan juga mahu meningkatkan jualan daripada pembeli asing dengan pembukaan sempadan, terutama untuk Sentral Suite, pembangunan VIVO 9 Seputeh dan unit kediaman St Regis.

 

"Dengan kepentingan dalam 1,153 ekar tanah bandar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM33 bilion, kumpulan mempunyai bekalan tanah jangka panjang yang mampan untuk projek masa depan," katanya.

 

Kumpulan juga, tambahnya, akan terus aktif menyertai tender bagi projek infrastruktur di bawah segmen kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar bagi meningkatkan nilai kontraknya. -DagangNews.com