Untung bersih MISC bagi 1QFY23 melonjak 62.83% kepada RM612.9 juta didorong peningkatan dalam segmen perkapalan petroleum | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MISC bagi 1QFY23 melonjak 62.83% kepada RM612.9 juta didorong peningkatan dalam segmen perkapalan petroleum

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Untung bersih MISC Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) meningkat 62.83% kepada RM612.9 juta berbanding RM376.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan itu didorong oleh segmen perkapalan petroleum dan produknya, serta bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada usaha sama (JV).

 

Hasil kumpulan juga meningkat sebanyak 7.36% kepada RM3.08 bilion daripada RM2.87 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Mengikut segmen, keuntungan operasi perkapalan petroleum dan produk melonjak lebih sembilan kali ganda kepada RM312.5 juta daripada RM32.2 juta sebelumnya pada margin yang lebih tinggi pada kadar tambang. 

 

Hasil meningkat 36.6% kepada RM1.21 bilion daripada RM887.3 juta manakala keuntungan kumpulan daripada JV meningkat kepada RM72 juta daripada RM17.5 juta sebelumnya.

 

"Keuntungan operasi kumpulan daripada segmen marin dan kejuruteraan berat meningkat 11% kepada RM7 juta daripada RM6.3 juta apabila hasil meningkat 18.8% kepada RM496.2 juta daripada RM417.8 juta.

 

"Keuntungan operasi hasil perniagaan luar pesisirnya meningkat 38% kepada RM166.7 juta daripada RM120.8 juta kerana keuntungan operasi suku yang sama terjejas oleh kos pembinaan yang lebih tinggi bagi unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang hadir daripada rantaian bekalan global dan penutupan di China," katanya.

 

Bagaimanapun, hasil bagi segmen perniagaan luar pesisir turun 24.1% kepada RM584.6 juta daripada RM770.1 juta berikutan pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada penukaran FPSO.

 

Mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata, perbelanjaan modal huluan global terus meningkat tahun ini, didorong oleh harga minyak yang tinggi, aliran tunai yang kukuh dan permintaan minyak global yang bertambah baik.

 

"Prospek bagi sektor minyak dan gas huluan kekal menjanjikan walaupun kebimbangan semakin meningkat mengenai kemelesetan global dan ekonomi dunia. 

 

"Momentum positif ini akan memberikan peningkatan besar dalam pasaran FPSO global pada tahun-tahun akan datang, membawa kepada jumlah anugerah FPSO yang lebih tinggi dalam jangka terdekat, datang dari rantau Amerika Selatan, diterajui oleh Brazil diikuti oleh Afrika Barat,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Kapten Rajalingam Subramaniam berkata, prestasi teguh itu berpunca daripada kekuatan teras kumpulan untuk menjalin perkongsian dengan pelanggan strategik, yang diperjuangkan oleh pasukan yang komited terhadap aspirasi strategik syarikat.

 

"Namun begitu, kami prihatin terhadap pertumbuhan global yang semakin perlahan dan keperluan tenaga yang berubah-ubah di seluruh dunia. 

 

"Semasa memulakan perjalanan transformasi perniagaan, kami berazam untuk merebut peluang ini, memanfaatkan kekuatan kewangan dan jenama kami, di peringkat serantau dan global," katanya. - DagangNews.com