KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keuntungan bersih MGB Berhad melonjak 25 kali ganda kepada RM12 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (2QFY23) daripada RM477,000 pada tempoh sama tahun lalu, dipacu segmen pembinaan dan perdagangan.
Pendapatan kumpulan itu pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu juga meningkat 73.9% kepada RM232.6 juta berbanding RM133.8 juta sebelumnya.
Pendapatan sesaham (EPS) pula meningkat kepada 2.03 sen daripada 0.08 sen.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MGB berkata segmen pembinaan dan perdagangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatannya yang mencatat pendapatan RM397.89 juta pada suku dalam tinjauan.
“Peningkatan hasil ini disumbangkan terutamanya oleh projek seperti Idaman Bandar Saujana Putra, Kita Mekar dan Kita Mesra,” katanya.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah menyumbang pendapatan sebanyak RM22.46 juta, dipacu oleh empat projek yang baru dilancarkan iaitu Idaman Melur, Idaman Cahaya Fasa 1, Idaman Sari dan Saujana Indah Fasa 1.
Secara keseluruhan, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), MGB mencatatkan keuntungan bersih RM24 juta, melonjak tiga kali ganda daripada RM7.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan 1HFY23 pula adalah sebanyak RM312 juta, meningkat 31% daripada RM98 juta tahun lalu.
Mengulas mengenai prospek syarikat, MGB berkata walaupun terdapat cabaran kenaikan kadar faedah, ia berharap dapat membangunkan pendekatan inovatif untuk pelanggan yang menumpukan kepada kos efektif dan lebih pantas ke pasaran melalui pendekatan teknologi dipacu nilai (VaDTech) MGB dan pelbagai inisiatif kerajaan untuk rumah mampu milik.
“Dengan kawalan kos yang berhati-hati dan kepekaan terhadap perkembangan pasaran dari semasa ke semasa, MGB berhasrat untuk mencapai hasil optimum daripada ketidaktentuan.
“Didorong oleh buku pesanan sedia ada kira-kira RM1.87 bilion, ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan tahun semasa.
“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah yakin dengan berhati-hati bahawa kumpulan akan mencapai prestasi yang memuaskan pada tahun 2023,” tambahnya.
Saham MGB ditutup naik 0.5 sen atau 0.7% kepada 74.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM440.8 juta. - DagangNews.com








