KUALA LUMPUR 19 Mei - Keuntungan bersih Malaysia Smelting Corporation Berhad pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (1QFY23) telah merosot 45% kepada RM35.4 juta daripada RM64.3 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).
Pendapatan syarikat pula menyusut 5% kepada RM340 juta pada suku tersebut berbanding RM359 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, keputusan 1QFY23 telah terkesan oleh harga purata bijih timah yang lebih rendah sebanyak RM116,100 setiap tan metrik pada suku tersebut berbanding RM180,000 dalam 1QFY23, walaupun kuantiti jualan timah bertapis lebih tinggi pada 1QFY23.
Mengulas mengenai prestasi 1QFY23, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, “Menyedari risiko faktor luaran seperti pergerakan harga timah yang tidak menentu dan arah aliran ekonomi global, kami telah giat meneruskan inisiatif untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan struktur kos, mengukuhkan daya tahan semasa syarikat terus berkembang.”

Bagi perbandingan suku ke suku, keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 37% daripada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) didorong oleh segmen peleburan bijih timah dan perlombongan bijih timah.
“Dengan purata harga bijih timah meningkat 18% pada suku tersebut kepada RM116,100 setiap tan metrik (4QFY22: RM98,100 setiap tan metrik), keuntungan selepas cukai (PAT) segmen peleburan bijih timah dan perlombongan bijih timah masing-masing meningkat sebanyak 28% dan 92%,” jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Patrick berkata aktiviti peleburan kini dijalankan di loji Pulau Indah menggunakan relau tombak terendam atas (TSL) berteknologi baharu yang dijangka membawa kepada kecekapan operasi, serta mengurangkan kos operasi dan tenaga manusia.
Tambahnya, pemasangan panel solar photovoltaic 1.26Mwp di atas bumbung premis mengurangkan jejak karbon dan kos tenaga kumpulan.
Selain itu, beliau berkata kumpulan itu menjangkakan untuk melupuskan kilang Butterworth menjelang pertengahan 2024 dan sehingga ia selesai, mereka akan menanggung perbelanjaan kedua-dua kilang tersebut.
“Kami mengharapkan pengeluaran perlombongan yang lebih tinggi hasil daripada pembelian bank tanah perlombongan agar boleh mengembangkan lagi perlombongan sedia ada,” tambahnya. -DagangNews.com








