KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keuntungan bersih Leon Fuat Berhad menyusut 15% kepada RM11.88 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding RM14 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 tersebut turut menurun 13% kepada RM217.4 juta daripada RM250.9 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22)
Pendapatan sesaham pengeluar dan peniaga produk keluli itu susut kepada 3.48 sen daripada 4.11 sen sebelumnya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Leon Fuat berkata penurunan pendapatan disebabkan terutamanya oleh pengurangan dalam hasil dagangan sebanyak 23.6% atau RM22.79 juta dan pemprosesan produk keluli pada 6.9% atau RM10.6 juta.
Pada asas segmen, katanya, segmen dagangan merosot kepada RM73.60 juta daripada RM96.39 juta, manakala segmen pemprosesan menyumbang RM143.78 juta, menyusut daripada RM154.38 juta.
Secara kumulatif, Leon Fuat telah mencatat keuntungan bersih RM22.6 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), jatuh 40% daripada RM37.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, pendapatan kumpulan pada 1HFY23 susut 13.9% kepada RM 451 juta berbanding RM523.9 juta tahun lalu.
Mengulas berkenaan prospek kumpulan, Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata pentauliahan Fasa 2 kemudahannya pada awal tahun 2024 merupakan satu kemajuan yang ketara dalam strategi pertumbuhan kumpulan.
“Walaupun keadaan ekonomi global mungkin menghadapi cabaran, portfolio kami yang teguh dan pelbagai, ditambah pula dengan dedikasi terhadap inovasi, meletakkan kami teguh mengharungi cabaran ini.
“Kami digalakkan oleh kekuatan asas perniagaan dan kekal komited menyampaikan nilai kepada semua pemegang saham kami.
“Keyakinan kami terhadap hala tuju strategic tidak berbelah bahagi dan kami menjangkakan momentum positif pada suku akan dating,” ujar beliau. - DagangNews.com








