KUALA LUMPUR 21 Sept - Untung bersih Kronologi Asia Berhad menyusut kepada RM3.04 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2023 (2QFY24) berbanding RM3.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pembekal teknologi serta rumusan Pengurusan Data Perusahaan Hibrid dan Awan di Asia itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM79.6 juta berbanding RM63.13 juta pada 2QFY23.
Bagi tempoh separuh tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (1HFY24) berbanding tempoh separuh tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Julai 2022, kumpulan melaporkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) lebih tinggi sebanyak RM25.9 juta atau 34%, serta pertumbuhan mampan sebanyak 5% untuk keuntungan selepas cukai.
Sebahagian besar hasil kumpulan itu diiktiraf dari Singapura dan China, masing-masing berjumlah RM41.762 juta dan RM49.667 juta (29.3% dan 34.8% daripada jumlah hasil), diikuti Filipina yang menyumbang 21.7% daripada jumlah keseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Edmond Tay berkata, berdasarkan segmen perniagaan, hasil yang disumbangkan oleh segmen Teknologi Infrastruktur Pengurusan Data Perusahaan (EDM) kumpulan berjumlah RM106.2 juta atau 74.4% daripada jumlah hasil, dengan EDM As-A-Service membentuk baki keseluruhan.
Beliau berkata, pihaknya memberi fokus kepada pelaksanaan dalam bidang utama bagi mengekalkan prestasi pada suku 2QFY24 ketika berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar.
"Kami sedang membina dan memperkenalkan tawaran As-A-Service yang lebih cekap dan lebih bijak dalam cara hibrid, berbilang awan yang fokus kepada Pengurusan Data.
"Penggunaan AI yang semakin meningkat akan menyumbang kepada pertumbuhan data dan kami bersedia memanfaatkan trend pertumbuhan dalam kes penggunaan AI dan IOT/RFID secara Hibrid; On-Perm dan Platform Data Awan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com