KUALA LUMPUR 19 Mei - Kawan Food Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya menyusut 8.37% pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 kepada RM7.88 juta, daripada RM8.60 juta suku sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan lebih tinggi, termasuk penjualan dan pengagihan serta cukai pendapatan.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, pendapatan sesaham syarikat itu berkurangan kepada 2.17 sen berbanding 2.40 sen.
Hasil untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat 15.17% kepada RM79.10 juta daripada RM68.68 juta, disumbangkan peningkatan permintaan untuk produknya dari pasaran tempatan serta Eropah dan Asia.
Pasaran Malaysia merekodkan hasil 20.7% lebih tinggi sebanyak RM38.71 juta pada suku tersebut berbanding RM32.08 juta pada suku yang sama, manakala pasaran Eropah mencatatkan peningkatan 83.6% dalam hasil pada suku tersebut kepada RM12.05 juta.
Syarikat itu berkata, pendapatan dari China lebih tinggi pada RM1.84 juta daripada RM1.49 juta.
Kawan Food memaklumkan, walaupun prospek pasaran global menunjukkan tanda-tanda kemelesetan, ekonomi Malaysia mengekalkan momentumnya melalui pelbagai sokongan dasar dan pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan.
"Kumpulan itu berusaha untuk kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya," katanya.
"Walaupun menghadapi cabaran tekanan inflasi terhadap pengeluaran, kumpulan itu akan terus menghasilkan produk berkualiti dan meningkatkan kemampanan perniagaannya untuk membina sebuah syarikat yang lebih kukuh serta bertanggungjawab," katanya. - DagangNews.com








