Untung bersih FSBM susut kepada RM204,000 pada 2QFY23 berbanding RM739,000 tahun tahun lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih FSBM susut kepada RM204,000 pada 2QFY23 berbanding RM739,000 tahun tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Untung bersih FSBM Holdings Berhad menyusut kepada RM204,000 bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM739,000 yang direkodkan pada suku sama pada tahun sebelum ini.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM3.5 juta bagi suku berkenaan berbanding RM2.9 juta pada 2QFY22.

 

"Peningkatan hasil itu disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi bagi projek Reka Bentuk dan Pembangunan Platform, Perkhidmatan Keselamatan Terurus dan projek Pembuatan Pintar bagi suku dalam tinjauan itu.

 

"Kumpulan itu melaporkan untung bersih lebih rendah disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi dan perbelanjaan luar biasa berkaitan pelan penyelarasan mereka," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

FSBM optimis namun tetap berhati-hati terhadap prospek syarikat untuk baki tahun ini.

 

Bagaimanapun, inisiatif kerajaan telah mendorong perniagaan untuk menerima pakai pendigitalan dan pihaknya percaya bahawa mereka berada pada kedudukan yang baik untuk meraih peluang dalam industri perkhidmatan IT.

 

Katanya, inisiatif dan tumpuan semasa adalah kepada Perkhidmatan Keselamatan Terurus, Penyelesaian Pembuatan Pintar, Reka Bentuk dan Pembangunan Platform, Sokongan Teknikal dan Perkhidmatan Lain, dan penjajaran mereka dengan inisiatif semasa dalam sektor teknologi Malaysia.

 

"Kami akan terus membina kekuatan kami dan menawarkan kontrak baharu untuk masa hadapan.

 

"Melihat ke hadapan, kami tetap komited untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang dan terus berada di hadapan dalam industri teknologi yang berubah pantas," katanya.- DagangNews.com