Untung bersih FM Global Logistics turun 40% kepada RM7.2 juta pada 1QFY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih FM Global Logistics turun 40% kepada RM7.2 juta pada 1QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Keuntungan bersih FM Global Logistics Holdings Berhad jatuh 40% kepada RM7.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24) berbanding RM12 juta bagi tempoh sama tahun lau.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat logistik itu menjelaskan bahawa keuntungan suku dalam tinjauan berkurangan disebabkan pendapatan operasinya di Malaysia dan luar negara menurun.

 

Pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 September 2023 itu juga merosot 37.7% kepada RM189 juta daripada RM303 juta tahun lalu disebabkan oleh kadar pengangkutan yang lebih rendah.

 

Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) kumpulan susut kepada 1.29 sen daripada 2.16 sen.

 

FM Global Logistics menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan logistik bersepadu seperti pengangkutan laut, pengangkutan udara, pengangkutan darat, gudang dan pengedaran serta perkhidmatan sokongan.

 

Ini dikendalikan oleh syarikat di Malaysia, Australia, Indonesia, Thailand, Vietnam, India dan Amerika Syarikat.

 

Bagi perkhidmatan pengangkutan antarabangsa, pendapatannya merosot kepada 42% kepada RM134.8 juta pada 1QFY24 berbanding RM232.6 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23).

 

Manakala perkhidmatan logistik tempatannya berjumlah RM54.3 juta, susut 23% daripada RM70.6 juta.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata prestasinya dijangka kekal positif walaupun menghadapi ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi global.

 

“Kumpulan akan terus menumpukan pada mengembangkan pangkalan pelanggannya di serantau dan menambah baik pengurusan kos,” katanya.

 

Setakat pukul 3:14 petang ini, saham FM Global turun 1 sen atau 1.7% kepada 58 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM323.9 juta.  - DagangNews.com