Untung bersih FGV Holdings jatuh 96% kepada RM12.1 juta pada 1QFY23 akibat harga minyak sawit mentah rendah, sektor gula rugi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FGV Holdings jatuh 96% kepada RM12.1 juta pada 1QFY23 akibat harga minyak sawit mentah rendah, sektor gula rugi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Keuntungan bersih FGV Holdings Berhad telah menjunam kira-kira 96% kepada RM12.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM369 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Kemerosotan tahun ke tahun (YoY) tersebut adalah akibat harga purata minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan yang lebih rendah dan kerugian sektor gulanya namun diimbangi oleh keuntungan sektor logistik.

 

Dalam makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu juga merosot 21.5% kepada RM4.59 bilion daripada RM5.85 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) menyusut kepada 0.3 sen berbanding 10.1 sen sebelumnya.

 

Mengulas tentang sektor perniagaannya, FGV Holdings berkata sektor perladangan mencatat keuntungan RM82 juta, manakala sektor logistik catat keuntungan lebih tinggi sebanyak RM32 juta, meningkat 19% dalam suku ini didorong oleh peningkatan pendapatan sewa tangki, minyak premium dan tan yang dibawa.

 

Sektor gula pula melaporkan kerugian operasi sebanyak RM24 juta berikutan penurunan pendapatan YoY sebanyak RM588 juta daripada RM593 juta sebelumnya disebabkan pengurangan jumlah jualan eksport untuk mengutamakan permintaan jualan tempatan.

 

Sektor ini menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi didorong oleh pertukaran asing 5.2% lebih tinggi dan peningkatan kos gas sebanyak 65% yang mengakibatkan kos penapisan lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Nazrul Mansor berkata bulan-bulan akan datang pada 2023 kekal mencabar dan FGV Holdings merancang untuk memanfaatkan momentum permulaan ini bagi meneruskan usaha sepanjang tahun ini dan memenuhi jangkaan pihak berkepentingan.

 

 

Datuk Nazrul Mansor
Datuk Nazrul Mansor

 

 

“Kami menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) bertambah baik tahun ini dengan tambahan pekerja asing yang akan memberi kesan positif kepada prestasi operasi kami.

 

“Bagaimanapun, kami juga sentiasa berhati-hati dengan keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit kami, seperti corak cuaca El Nino menjelang akhir tahun ini,” tambahnya.

 

Dari segi kemampanan, FGV Holdings telah melaksanakan pelbagai program untuk mengukuhkan amalan buruhnya, termasuk menyelaraskan dasar dan amalan pengambilan pekerja kepada piawaian buruh antarabangsa dalam usaha meningkatkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat. -DagangNews.com