Untung bersih ELK-Desa lonjak 35% kepada RM7.5 juta dalam 4QFY23 dipacu segmen sewa beli, perabot | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih ELK-Desa lonjak 35% kepada RM7.5 juta dalam 4QFY23 dipacu segmen sewa beli, perabot

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Keuntungan bersih ELK-Desa Resources Berhad telah melonjak 35% kepada RM7.5 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23) berbanding RM5.5 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan pada 4QFY23 juga meningkat 12% kepada RM40.3 juta daripada RM36 juta suku keempat 2022.

 

Secara kumulatif, pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2023 (FY23) telah naik 20% kepada RM155 juta berbanding RM129 juta tahun sebelumnya manakala keuntungan bersih melonjak 85% kepada RM47.7 juta daripada RM25.8 juta.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 yang akan dibayar pada 22 Jun 2023 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam rekod pendeposit syarikat pada 9 Jun 2023.

 

Menurut kumpulan itu, prestasi kewangan itu mencerminkan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot, seiring dengan pemulihan pasca pandemik COVID-19 di Malaysia, di mana penghutang sewa beli setakat 31 Mac 2023 telah meningkat 23% kepada RM575 juta daripada RM468 juta tahun lalu.

 

“Ini adalah sejajar dengan usaha kumpulan untuk menormalkan pertumbuhan penghutang sewa beli memandangkan landskap makroekonomi yang semakin pulih serta pengurangan risiko gangguan selanjutnya terhadap operasi,” kata ELK-Desa dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut kumpulan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk segmen sewa beli meningkat sebanyak 77% kepada RM57.82 juta daripada RM32.72 juta, terutamanya disebabkan oleh portfolio sewa beli lebih besar serta elaun rosot nilai yang berkurangan 68% tahun ke tahun (YoY) kepada RM7 juta.

 

Pada FY23, segmen perabot telah mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 25% kepada RM54.5 juta dan kenaikan ketara 153% dalam PBT kepada RM5.49 juta disebabkan jualan perabot lebih tinggi serta margin keuntungan kasar naik daripada 33% kepada 38%.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee berkata prestasi kumpulan pada FY23 adalah luar biasa memandangkan penghutang sewa beli bersih telah pulih sebanyak 21% jika dibandingkan dengan FY22.

 

“Melangkah ke tahun kewangan 2024, kami tidak menjangkakan penghutang sewa beli meningkat dengan mendadak berikutan ketidaktentuan makroekonomi. Selain risiko luaran dan tekanan inflasi, industri kewangan bagi kereta terpakai juga mungkin memerlukan perubahan proses untuk menyesuaikan diri dengan pengawasan kawal selia baharu oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, yang dijangka berkuat kuasa pada 2024,” tambah beliau.

 

Seng Hee juga berkata ELK-Desa akan kekal fokus untuk mengurangkan nisbah pinjaman terjejas, yang kekal tinggi secara relatifnya terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan serta pematuhan kepada Akta COVID-19 yang telah mengehadkan usaha pemulihan kredit.

 

Bagi segmen perabot, kumpulan tersebut akan terus berada di landasan yang betul dengan hala tuju strategiknya untuk berkembang secara organik, memfokuskan kepada pasaran borong domestik bagi mengedarkan produk perabotnya kepada lebih 800 peruncit perabot di seluruh Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak. -DagangNews.com