Untung bersih DXN susut 20.2% kepada RM55.17 juta pada suku keempat 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih DXN susut 20.2% kepada RM55.17 juta pada suku keempat 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mei - Keuntungan bersih DXN Holdings Bhd telah menyusut 20.2% kepada RM55.17 juta pada suku keempat berakhir 28 Februari 2023 berbanding RM69.16 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

“Ini disebabkan terutamanya oleh kemerosotan harta, loji dan peralatan untuk kemudahan kumpulan di Indonesia; peruntukan berkaitan kes duti kastam Daxen Morocco; dan kerugian pertukaran asing, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jualan,” katanya dalam keputusan 4QFY23 itu.

 

Manakala pendapatan kumpulan meningkat 19.3% kepada RM405 juta daripada RM339 juta suku keempat 2022.

 

"Peningkatan pendapatan terutamanya didorong oleh momentum jualan yang kukuh di seluruh perniagaan, dengan pertumbuhan jualan lebih tinggi bagi makanan dan minuman di Amerika Latin, Maghribi dan India," kata DXN dalam satu kenyataan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 (FY23), keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 13.4%  kepada RM275.4 juta daripada RM242.92 juta dalam tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Syarikat itu merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion untuk FY23, peningkatan 28.8% daripada RM1.2 bilion pada tahun lalu.

 

Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata kewangan syarikat itu terutamanya didorong oleh permintaan kukuh untuk makanan dan minuman.

 

Memandang ke hadapan, Siow Jin berkata kumpulan itu yakin akan dapat mengekalkan momentumnya apabila syarikat mengembangkan penawaran produk dan meluaskan kehadiran dalam pasaran sedia ada dan baharu.

 

"Komitmen kami terhadap kecemerlangan dan kepuasan pelanggan kekal menjadi keutamaan dalam strategi perniagaan dan kami teruja untuk terus memacu pertumbuhan dan mencipta nilai bagi pemegang kepentingan kami," katanya. -DagangNews.com