Untung bersih Duopharma melonjak 11.5% kepada RM22.6 juta didorong jualan ubat preskripsi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Duopharma melonjak 11.5% kepada RM22.6 juta didorong jualan ubat preskripsi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 MEI - Duopharma Biotech Berhad telah mencatat peningkatan untung bersih sebanyak 11.5% kepada RM22.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM20.3 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pada suku ini juga telah meningkat 7.8% kepada RM200 juta berbanding RM186 juta sebelumnya.

 

Peningkatan pendapatan syarikat dalam 1QFY23 telah dirangsang oleh jualan dalam pasaran farmaseutikal preskripsi yang melonjak 31.9% daripada pendapatan RM151.96 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22).

 

Pendapatan sesaham (EPS) bagi 1QFY23 berjumlah 2.38 sen, berbanding 2.19 sen pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata kumpulan itu melihat pembaharuan penjagaan kesihatan yang menjanjikan di negara ini, seperti Bajet 2023 yang disemak semula telah memperuntukkan peningkatan 12% yang sangat diperlukan dan ketara untuk sektor penjagaan kesihatan.

 

“Peningkatan permintaan untuk produk farmaseutikal yang inovatif akan membantu meningkatkan hasil penjagaan kesihatan, menawarkan peluang pertumbuhan industri.

 

“Begitu juga, pengembangan kami ke dalam pasaran Indonesia membolehkan Duopharma mewujudkan kehadiran global lebih besar dan merebut peluang menarik untuk kerjasama yang seterusnya menyumbang kepada hasil penjagaan kesihatan lebih baik,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada April 2023, syarikat telah menubuhkan PT Duopharma Healthcare Indonesia (PT DHI) sebagai anak syarikatnya di Republik Indonesia.

Pada masa ini, Duopharma mempunyai kontrak membekalkan Formulasi Manusia Rekombinan Insugen-Insulin kepada kemudahan Kementerian Kesihatan selama tiga tahun sehingga April 2025, dengan harga RM375 juta.

 

Selain itu, kontrak membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan telah dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun 2023.

 

Kumpulan juga mungkin menikmati potensi penjimatan sekitar RM10 juta dengan lanjutan insentif elaun pelaburan semula khas di bawah pakej rangsangan PENJANA setelah aset yang layak termasuk K3 menjelang 2024. -DagangNews.com