Untung sebelum cukai DRB-Hicom bagi 1QFY24 naik kepada RM210.8 juta, hasil bertambah 5.6% | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai DRB-Hicom bagi 1QFY24 naik kepada RM210.8 juta, hasil bertambah 5.6%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Mei - DRB-HICOM Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM210.8 juta bagi suku pertama 2024, melebihi RM200.8 juta dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas. 

 

Ini disertai dengan peningkatan hasil sebanyak 5.6%, mencecah RM4.3 bilion berbanding RM4.1 bilion pada suku pertama 2023.

 

Hasil daripada automotif Kumpulan meningkat sebanyak 0.8% kepada RM3.04 bilion terutamanya disebabkan oleh volum jualan yang lebih tinggi dicatatkan pada suku pertama 2024 (1QFY23: RM3.02 bilion).

 

Sektor aeroangkasa dan pertahanan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11.4% kepada RM187.8 juta pada suku ini, terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam jualan bagi produk ‘single-aisle’ dan komponen-komponen pesawat.

 

Sektor pos pula mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 4.6% kepada RM291.2 juta, disumbangkan terutamanya oleh perniagaan melnya.

 

Perbankan mencapai peningkatan hasil sebanyak 34.6% kepada RM510.4 juta berbanding RM379.3 juta setahun sebelumnya didorong oleh peningkatan pendapatan pembiayaan, disokong oleh peningkatan jumlah pembiayaan berikutan pertumbuhan yang mampan dan pangkalan pelanggan yang berkembang. 

 

Selain itu, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (“OPR”) daripada 2.75% kepada 3.0% pada Mei 2023 menyumbang kepada prestasi kukuh sektor tersebut.

 

Sektor perkhidmatan merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6.0% kepada RM216.6 juta disumbangkan terutamanya oleh perniagaan katering dalam penerbangan yang menyaksikan peningkatan dalam hidangan disediakan dan perkhidmatan pengendalikan darat, sejajar dengan peningkatan bilangan penerbangan.

 

Hasil daripada Sektor Hartanah Kumpulan pula melonjak sebanyak 63.0% kepada RM79.1 juta berbanding RM48.5 juta pada 1QFY23, terutamanya disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek pembangunan hartanah.

 

Menyentuh prospek 2024, DRB Hicom berkata, konflik geopolitik yang meningkat, turun naik dalam harga komoditi global yang sukar diramalkan dan ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan terus menjadi cabaran kepada ekonomi.

 

Katanya, pada suku pertama tahun ini, Jumlah Volum Industri (TIV) mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5% kepada 202,245 unit daripada 192,615 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

 

"Momentum ini berterusan selepas TIV yang sangat tinggi pada 2023 terutamanya disebabkan kemasukan jenama asing baharu ke dalam pasaran dan pemulihan ekonomi secara amnya selepas wabak. Namun, bagi 2024, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan TIV lebih rendah berbanding 2023.

 

"Bagi pengeluar kereta nasional, jualan tertinggi PROTON sebahagian besarnya adalah dari modelnya yang paling laris iaitu Proton Saga, diikuti oleh Proton S70 sedan dan barisan model SUV siri X," katanya.

 

Sementara itu, jelas kenyataan itu, Honda Malaysia telah mengumumkan sasaran jualan sebanyak 95,000 unit untuk 2024, meningkat daripada 80,027 unit pada 2023. 

 

Kata DRB-Hicom, bagi jenama-jenama lain dalam Kumpulan, pelancaran model baharu akan bergantung terutamanya pada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi semasa.

 

"Sektor Perbankan Kumpulan terus mencapai kemajuan dalam perjalanan transformasi digitalnya yang mengukuhkan lagi keupayaan ke arah meningkatkan pengalaman pelanggan. 

 

"Sektor Pos kekal teguh dalam melaksanakan strategi transformasinya secara berterusan untuk meningkatkan lagi perniagaan yang diterajui margin, pada masa yang sama, terus sejajar dengan aspirasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”). 

 

"Sektor lain di bawah Kumpulan, iaitu Aeroangkasa dan Pertahanan, Perkhidmatan dan Hartanah terus mengekalkan pendekatan proaktif terhadap pengurusan kos dalam memastikan daya tahan terhadap risiko pasaran semasa," jelansya.

 

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan Kumpulan mengekalkan prospek yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - DagangNews.com